Saya cucuk penuh kasih sayang – MA

LocalHealth & Fitness
6 Nov 2026 • 12:04 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Saya cucuk penuh kasih sayang – MA

SHAH ALAM – “Saya cucuk dengan penuh kasih sayang, tetapi tetap salah.”

Demikian luahan seorang penolong pegawai perubatan (MA) di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang selepas tindakannya mengambil darah seorang kanak-kanak dikecam dalam media sosial.

Kontroversi tercetus selepas seorang pengguna Threads memuat naik gambar penolong pegawai itu melakukan prosedur pengambilan darah seorang kanak-kanak sebelum mempersoalkan kelayakan petugas kesihatan terbabit.

“Ni ke? Hospital besar macam HTAR ambil budak tak habis belajar lagi untuk cucuk ambil darah,” tulisnya.

Tidak mahu terus menjadi sasaran kecaman, pengguna Threads dikenali sebagai ameel_syahmeel yang mengakui dirinya petugas terlibat tampil menjelaskan situasi sebenar.

Katanya, dia tidak mengetahui kesalahan yang dilakukan kerana prosedur itu sudah dilaksanakan dengan berhati-hati walaupun berdepan kesukaran mendapatkan kerjasama kanak-kanak terbabit.

Malah, dia menjelaskan branula berjaya dimasukkan ke dalam urat sebelum mahu memastikan alat itu dipasang kemas agar tidak tercabut.

“Saya staf yang berbaju hijau yang mencucuk tangan anak itu. Saya tidak tahu mana kesalahan saya. Mungkin dia lebih pakar dalam memasukkan branula.

“Saya dah cucuk dengan penuh kasih sayang walaupun budak banyak kerenah. Lagi satu, budak bukannya dapat beri kerjasama macam orang dewasa. Orang dewasa pun menahan kesakitan apabila dicucuk.

“Branula itu pun sudah cantik masuk urat. Cuma ketika itu saya mahu memastikan branula tersebut terpasang kemas supaya tidak tercabut. Tetapi tetap salah juga. Tidak tahu bagaimana hendak buat supaya sempurna,” katanya.

Luahan itu mendapat perhatian seorang pengguna yang mengaku dirinya doktor dan tampil memberikan sokongan kepada petugas kesihatan tersebut.

“Jangan risau dan down (sedih). Saya sebagai doktor pun, anak saya lebih percayakan MA ambil darah daripada emak sendiri,” kata @maariah_qibtiah.

Seorang lagi pengguna, Tissdeel yang mengakui dirinya seorang ibu turut berkongsi pengalaman berdepan kesukaran ketika menjalani prosedur memasukkan branula sewaktu mengandung.

“Saya yang mengandung pun nak masukkan branula sampai dua nurse (jururawat) tak masuk, tukar tangan pun masih tak dapat,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor memaklumkan, pihak pengurusan HTAR memandang serius insiden melibatkan waris pesakit dan petugas di Zon Kecemasan Kanak-Kanak pada 2 November lalu.

Menurut kenyataan itu, siasatan dalaman telah dijalankan dan tindakan penambahbaikan diambil bagi memperkukuh komunikasi serta memastikan respons yang segera, prihatin dan profesional terhadap keperluan pesakit dan waris.

“HTAR menghargai maklum balas masyarakat dan komited untuk memastikan perkhidmatan kesihatan disampaikan dengan penuh hormat, ihsan dan profesionalisme,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

The post Saya cucuk penuh kasih sayang – MA appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved