
PETALING JAYA – Seorang bapa mendakwa dua anaknya turut menjadi mangsa tindakan seorang wanita tidak dikenali yang bertindak kasar terhadap kanak-kanak dan seorang wanita di sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur, semalam.
Lelaki dikenali sebagai Hafizuddin berkata, kejadian berlaku ketika dia membawa dua anaknya berusia tujuh dan dua tahun ke sebuah acara Pokemon di pusat membeli-belah berkenaan.
Menurutnya, anak lelakinya yang baru pulih daripada demam sebelum itu teruja untuk mengunjungi acara berkenaan bagi mengumpul cop Pokemon.
Bagaimanapun, keadaan bertukar kecoh apabila anak lelakinya dipercayai ditolak wanita terbabit sehingga terjatuh ketika mereka sedang berjalan di kawasan berkenaan.
Katanya, sebelum kejadian menimpa keluarganya, wanita sama dipercayai telah menampar seorang kanak-kanak daripada keluarga lain sebelum bertindak menampar seorang wanita Melayu bertudung.
“Dia jenis yang lempang, kemudian terus berjalan. Kejadian itu berlaku di belakang saya dan saya tidak menyedarinya.
“Selepas itu, saya berjalan bersama anak-anak. Anak lelaki ke kanan, manakala anak perempuan ke kiri.
“Saya terdengar bunyi seperti budak terjatuh, lalu menoleh ke arah anak lelaki. Dia sudah bangun dan memandang wanita itu dengan wajah kehairanan,” katanya ketika dihubungi sebuah stesen radio.
Hafizuddin berkata, dia kemudian cuba menegur wanita berkenaan, namun wanita itu tidak mengendahkannya sebelum bertindak memukul kepala anak perempuannya yang berusia dua tahun sehingga terjatuh.
Menurutnya, tindakan itu menyebabkan dia segera mendapatkan penjelasan daripada wanita terbabit sebelum insiden berkenaan bertukar menjadi pertengkaran.
“Dia terus menjerit meminta polis dan mendakwa saya orang gila apabila polis bantuan datang ke lokasi kejadian.
“Saya cuma seorang ayah yang mahu membela nasib anak-anak saya kerana perkara itu berlaku betul-betul di depan mata,” katanya.
Tambahnya, dia bersama dua lagi individu yang mendakwa menjadi mangsa wanita berkenaan kemudian dipanggil ke bilik pengurusan pusat membeli-belah itu untuk memberikan keterangan dan membuat laporan.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian seorang wanita tidak dikenali menolak seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun sehingga terjatuh sebelum memukul kepala adiknya yang berusia dua tahun di sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur, semalam. – KOSMO! ONLINE
View on Threads
The post ‘Dia pukul anak saya, sebelum itu dia pukul wanita lain’ appeared first on Kosmo Online.






