‘Semua orang mak nak raikan’ – Memey Suhaiza luah rasa kehilangan ibu, teringat pesan arwah tak mahu susahkan anak-anak

30 Oct 2026 • 2:08 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: ‘Semua orang mak nak raikan’ – Memey Suhaiza luah rasa kehilangan ibu, teringat pesan arwah tak mahu susahkan anak-anak

KASIH seorang ibu sukar digambarkan dengan kata-kata. Selagi hayat dikandung badan, dialah insan yang tidak pernah jemu mencurahkan kasih sayang, mengambil berat dan memastikan setiap orang di sekelilingnya berasa dihargai.

Namun, apabila insan yang menjadi tempat bermanja itu pergi buat selama-lamanya, segala kenangan bersamanya menjadi pengubat rindu yang tidak ternilai.

Itulah kehilangan yang kini dirasai usahawan dan bekas pelakon, Memey Suhaiza, susulan pemergian ibunya, Norlela Abdul Rahman, yang menghembuskan nafas terakhir selepas mengalami strok.

Berita duka itu dimaklumkan oleh suaminya yang juga pelakon, Norman Hakim.

Menerusi perkongsian di TikTok, Memey atau nama sebenarnya Suhaiza Suhaimi meluahkan rasa kehilangan terhadap wanita yang disifatkan sebagai ratu hatinya itu.

Image from: ‘Semua orang mak nak raikan’ – Memey Suhaiza luah rasa kehilangan ibu, teringat pesan arwah tak mahu susahkan anak-anak

Bagi Memey, ibunya bukan sekadar insan yang membesarkan anak-anak, malah seorang wanita yang sentiasa meletakkan kebahagiaan orang lain dalam setiap perkara yang dilakukan.

Malah, sikap ramah dan keprihatinan arwah, terutama dalam memastikan semua orang menikmati hidangan ketika berkumpul, menjadi antara kenangan yang cukup dekat di hatinya.

"Terima kasih jadi mak yang sangat baik, sangat hebat dan penuh dengan kasih sayang. Bukan sekadar untuk kami sebagai anak, tetapi semua orang.

"Siapa yang mengenali mak pasti tahu betapa ramahnya dia dan bagaimana mak selalu prihatin terhadap semua orang, lebih-lebih lagi bab makan. Semua orang mak nak raikan," luahnya.

Image from: ‘Semua orang mak nak raikan’ – Memey Suhaiza luah rasa kehilangan ibu, teringat pesan arwah tak mahu susahkan anak-anak

Ibu sumber kekuatan keluarga

Memey turut mengakui masih sukar menerima hakikat bahawa wanita yang selama ini menjadi sumber kekuatan keluarga sudah tiada di sisi.

Walaupun terlalu banyak perkara yang ingin diungkapkan, setiap kenangan manis bersama arwah akan terus disimpan kemas dalam ingatannya.

Lebih menyentuh perasaan, Memey mendedahkan ibunya pernah menyuarakan hasrat untuk tidak mahu menyusahkan anak-anak sekiranya jatuh sakit.

Namun, sepanjang hayatnya, arwah sebenarnya merupakan insan yang sentiasa memudahkan urusan orang lain.

"Seperti yang mak cakap, mak tak nak susahkan anak-anak bila mak sakit. Hakikatnya, mak tak pernah menyusahkan. 

"Dari dulu sampai mak pergi, maklah orang yang selalu memudahkan segala urusan semua orang," ungkapnya lagi.

Image from: ‘Semua orang mak nak raikan’ – Memey Suhaiza luah rasa kehilangan ibu, teringat pesan arwah tak mahu susahkan anak-anak

Dalam kesempatan sama, Memey turut menitipkan doa agar roh ibunya ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta segala urusan arwah dipermudahkan.

Ikon usahawan Muslimah itu turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menitipkan ucapan takziah dan doa, meskipun tidak berkesempatan membalas setiap satu secara peribadi.

Buat Memey, kehilangan itu pastinya meninggalkan ruang kosong yang sukar digantikan, namun kasih dan segala kebaikan seorang ibu akan terus hidup melalui kenangan yang ditinggalkan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved