Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak akan berundur daripada perjuangan membanteras rasuah dan penyelewengan meskipun berdepan pelbagai kritikan serta serangan politik sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Menurut laporan BH Online, Anwar berkata, beliau sedar terdapat pihak yang tidak berpuas hati dengannya, malah mahu menjatuhkan kepimpinannya susulan tindakan tegas kerajaan terhadap individu yang didakwa terbabit dalam penyelewengan.
Bagaimanapun, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menegaskan beliau tidak pernah mengambil wang rakyat untuk kepentingan sendiri.
“Apa pun orang boleh hentam saya, saya terima. Tapi saya tak curi duit rakyat.
“Saya faham banyak orang tak suka saya. Saya faham banyak mahu jatuhkan saya.
“Sebab apa… sebab kita keras lawan orang yang sakau,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana ‘Melaka Rumah Kita’ di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, Tangga Batu malam tadi.

Foto: Bernama
Dalam ucapannya, Anwar turut menyentuh ceramah kempen sebuah parti yang didengarnya sebelum ini, yang didakwa menafikan wujudnya penyelewengan dalam pengurusan kewangan negara.
Beliau kemudian membangkitkan beberapa isu kewangan bernilai berbilion ringgit bagi menjelaskan mengapa usaha membanteras ketirisan perlu diteruskan.
“Semalam saya dengar kempen. Ini kempen parti kawan kita. Dia cakap mana ada sakau ni.
“Ini sakau-sakau, mana ada sakau. Ini saya cerita, RM9 bilion hilang. Ini RM10 bilion. Mana ada sakau,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa sebarang dakwaan berkaitan rasuah dan penyelewengan tidak boleh dibuat secara sewenang-wenangnya, sebaliknya perlu disokong bukti serta melalui proses perundangan.
Menurutnya, siasatan perlu dilaksanakan PDRM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), manakala keputusan pendakwaan dikendalikan Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum sesuatu kes diputuskan mahkamah.
“Kalau ada bukti dia curi, mesti kenakan. Bukan tuduh orang ini rasuah, orang ini curi.
“Dia kena siasat, kena ada bukti. Jangan syok sendiri. Hari-hari orang salah, orang salah. Kamu apa? Kamu hakimkah? Kamu poliskah?” kata beliau.
Anwar turut mengaitkan beban kewangan kerajaan ketika ini dengan beberapa isu terdahulu membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Lembaga Tabung Haji (TH) dan FELDA.
Beliau berkata, kerajaan perlu menyediakan hampir RM1 bilion setiap tahun bagi FELDA, selain membangkitkan kerugian RM10 bilion yang dikaitkannya dengan Tabung Haji.
“Bayang kalau tak tipu, saya boleh bagi RM1 bilion setiap tahun kepada FELDA. Orang-orang senang hidup. Sekarang saya mesti cari duit,” jelasnya.
Selain itu, beliau membangkitkan projek bernilai RM9 bilion yang menurutnya dibiayai menerusi pinjaman daripada Exim Bank China pada 2016, namun mendakwa sebahagian peruntukan berkenaan tidak menghasilkan projek seperti yang dirancang.
Katanya, kerajaan kemudiannya mengadakan rundingan bagi mendapatkan semula sebahagian daripada dana berkenaan sebelum disalurkan kepada projek bekalan air dari Sungai Perak hingga Pulau Pinang.
“Dia boleh bagi RM5 bilion balik. Saya buat projek bekalan air Sungai Perak sampai Pulau Pinang.
“Jadi seluruh Perak sampai seluruh Pulau Pinang ada air. Wang yang dulu hilang masa 2016, siapa ambil balik?” ujarnya lagi.
Beliau menegaskan usaha membanteras rasuah dan penyelewengan perlu diteruskan supaya sumber kewangan negara dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk pembangunan serta kesejahteraan rakyat.
Sumber: BH Online (Suharmin Yusuf, Luqman Hakim dan Deerina Sheikh Faisal)



![‘Saya Tak Curi Duit Rakyat, Akan Terus Lawan Sakau’ – Anwar Kekal Komited Banteras Kes Rasuah Dalam Negara [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/11/FI-BuzzKini-8.jpg?t=1793952494)


