‘Hak UMNO Untuk Bayar Denda RM50 Juta, Tapi Saya Tak Setuju’ - Anwar

LocalPolitics
6 Nov 2026 • 6:23 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

‘Hak UMNO Untuk Bayar Denda RM50 Juta, Tapi Saya Tak Setuju’ - Anwar

KUALA LUMPUR - Keputusan untuk membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib menjelaskan denda RM50 juta bagi menjalani baki hukuman penjara di rumah adalah hak prerogratif UMNO. 

Namun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau secara peribadi tidak bersetuju dengan tindakan berkenaan kerana dikhuatiri menimbulkan persepsi bahawa kesalahan rasuah berskala besar boleh dipandang ringan atas dasar hubungan persahabatan.

Menurut beliau, hubungan baik dengan Najib tidak seharusnya mengaburkan pendirian terhadap isu rasuah, lebih-lebih lagi apabila ia membabitkan jumlah wang yang begitu besar.

“Keputusan UMNO untuk membayar denda itu terpulang kepada parti berkenaan.

“Secara peribadi, saya tidak bersetuju. Kita boleh mengekalkan hubungan persahabatan dengan Datuk Seri Najib, tetapi jangan sampai timbul tanggapan bahawa rasuah membabitkan sehingga RM1 bilion boleh dibiarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pengesahan UMNO bahawa denda berkenaan sudah dijelaskan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Pembayaran itu dibuat selepas parti berkenaan melancarkan tabung khas bagi mengumpulkan sumbangan untuk membantu Najib menjelaskan denda tersebut.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini memaklumkan kutipan menerusi Tabung Solidariti Najib Razak sudah mencapai jumlah yang diperlukan bagi membolehkan bayaran diselesaikan.

Tabung itu mula dibuka pada 18 September lalu dan mendapat sumbangan daripada ahli UMNO serta orang ramai di seluruh negara.

Asyraf turut mengucapkan penghargaan kepada semua penyumbang, selain memaklumkan akaun khas berkenaan akan ditutup selepas matlamat kutipan dicapai. Bagaimanapun, jumlah keseluruhan sumbangan yang diterima tidak dinyatakan.

Urusan pembayaran di mahkamah hari ini turut dihadiri pegawai khas Najib, Ahmad Lutfi Azhar dan peguamnya, Muhammad Farhan Shafee yang tiba kira-kira jam 12.10 tengah hari.

Muhammad Farhan dilihat membawa sebuah beg hitam berkunci ketika memasuki Pejabat Pendaftaran Jenayah.

Najib kini menjalani hukuman penjara selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International.

Pada 2024, hukuman penjara terhadapnya dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda yang dikenakan turut diturunkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta menerusi keputusan Lembaga Pengampunan.

Sultan Ibrahim kemudiannya memperkenankan pengampunan bersyarat yang membolehkan Najib menjalani baki tempoh hukumannya di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Bagaimanapun, kelonggaran itu tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan terhadap syarat lain yang ditetapkan.

Sekiranya gagal memenuhi syarat berkenaan, pengampunan bersyarat itu boleh dibatalkan dan Najib perlu kembali menjalani baki hukumannya di penjara. - Getaran, 6 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved