
BUKAN semua kisah keibuan datang dengan skrip sempurna dan Ayda Jebat memilih untuk jujur tentang itu.
Dalam kesibukan membesarkan anak-anak, pelakon dan penyanyi itu mengakui dirinya bukan ‘supermom’ seperti yang sering dibayangkan.
Malah, tanpa suami tercinta, Nabil Mahir, wanita kecil molek itu sendiri tidak yakin untuk membawa anak-anak keluar sendirian, terutama ketika fasa bayi.
Namun di sebalik pengakuan itu, terselit satu kisah yang cukup menghangatkan hati tentang pasangan yang saling melengkapi.
Saat ramai masih melihat tanggungjawab menjaga anak terletak sepenuhnya di bahu ibu, Ayda dan Nabil membuktikan ia sebenarnya perjalanan bersama.
“Tanpa Nabil, saya tak yakin bawa anak sendirian…" ungkapnya tenang sambil mata memandang wajah suami tersayang di sisi.
Menerusi pengakuan itu, mungkin di situlah kekuatan sebenar sebuah keluarga, bila dua-dua saling ada, saling faham, dan sama-sama ‘enjoy the moment’ membesarkan anak-anak.
Berkongsi lebih lanjut, Ayda tidak menafikan fasa membesarkan anak kecil datang dengan cabaran tersendiri, kurang tidur, tiada masa untuk diri sendiri, malah perkara sekecil bersiap pun kadang-kadang jadi mustahil.
Namun baginya, semua itu bukan beban yang perlu dikeluhkan, sebaliknya sebahagian daripada momen yang perlu dihargai.
“Selain daripada tak cukup tidur dan tak ada masa nak bersiap, saya rasa kita just enjoy the moment. Sebab bila tengok anak, kejap je dia dah besar.
"Dengan anak pertama, masa tu saya tak bekerja, jadi rasa lama kita lalui fasa tu. Tapi bila anak kedua, kita dah mula kerja sikit-sikit, sekarang memang bekerja sepenuhnya, rasa macam sekejap sangat masa tu berlalu.
“Tiba-tiba kita tengok, eh kenapa dia dah besar? Kenapa dia dah tinggi? Baju pun cepat je tak muat. Jadi saya rasa, kita kena hargai setiap masa tu.
"Kalau ada peluang tak bekerja, saya memang pilih duduk rumah, main dengan mereka,” kongsinya.

Dalam pada itu, pelantun lagu Pencuri Hati ini juga terbuka berkongsi realiti sebenar yang mungkin jarang diungkap, tentang betapa besarnya peranan suami dalam membantu menguruskan anak-anak, terutama ketika mereka masih kecil.
“Sejujurnya kalau tak ada Nabil, saya tak boleh. Saya memang tak pernah bawa anak keluar sendirian tanpa dia, saya tak percaya diri saya.
"Lagi-lagi masa newborn, kebanyakan masa memang Nabil yang jaga.
“Saya punya ‘job’ masa baby kecil cuma menyusukan saja. Saya bangun, menyusu, lepas tu saya tidur balik. Semua yang lain dia uruskan, tukar lampin, tenangkan baby, semua dia buat.
"Lepas settle, barulah dia bagi saya sambung tidur,” jelasnya jujur.
Enjoy tengok anak
Tambah Ayda, situasi itu bukanlah hasil sebarang perjanjian, sebaliknya datang secara semula jadi daripada rasa tanggungjawab suaminya sendiri.
“Ini bukan perjanjian pun, tapi saya rasa sangat bertuah. Dia faham itu tanggungjawab dia juga.
"Dia nak saya cukup rehat sebab pagi dia kerja, saya pula ada komitmen lain. Jadi kami memang take turns.
“Kadang saya nampak dia mengantuk, saya tanya nak tolong ke tak, tapi dia kata tak apa. Dia kata dia enjoy tengok anak, walaupun mengantuk.
"Dia siap berbual dengan baby walaupun kadang-kadang buat saya geram sebab baby pun tak jadi tidur,” katanya sambil tersenyum.
Apa yang dikongsikan Ayda secara tidak langsung membuka perspektif baharu tentang realiti keibubapaan masa kini.
Jika dulu peranan menjaga anak sering dilihat sebagai ‘tugas ibu’, kini semakin ramai bapa tampil memainkan peranan sama besar, malah ada yang lebih ‘hands on’.

“Sekarang saya nampak ramai kawan-kawan, suami mereka lagi hebat jaga anak. Kalau anak nak ke tandas, suami yang bangun. Kita pula mak-mak ni boleh lah duduk sekejap, lepak atau nak me time. Sebagai wanita dan isteri, saya rasa bangga tengok perubahan tu.
“Sebenarnya tak kisahlah mak atau ayah yang jaga, dua-dua pun sama hebat. Yang penting, bukan satu pihak saja yang bertanggungjawab,” ujarnya lagi.
Dalam dunia yang semakin pantas, mungkin apa yang dikongsikan Ayda ini sederhana, tetapi cukup dekat dengan realiti ramai.
Tentang penat yang tak terucap, tentang masa yang terasa singkat, dan tentang betapa berharganya bila ada pasangan yang sentiasa ‘ada’ di sisi.



