
KUALA LUMPUR: Pelakon, Amir Ahnaf mengakui pernah melalui fasa gelap apabila kehilangan jati diri, kira-kira dua tahun lalu.
Amir berkata, ketika itu dia sedang mencari arah dalam industri seni namun bersyukur kerana filem Baga seolah-olah memulangkannya kembali kepada dirinya yang sebenar.
“Saya tersentuh kerana melalui filem Baga, saya seolah-olah menjumpai semula diri saya yang hilang. Kami menjalani penggambaran ini dua tahun lalu dan ketika itu, sejujurnya saya sangat ‘lost’.
“Saya menceburkan diri dalam bidang lakonan kerana ingin mencari jiwa dan mengenali siapa sebenarnya Amir Ahnaf.
“Apabila saya melihat semula lakonan saya dalam naskhah ini, perasaan rindu terhadap diri saya yang dulu tiba-tiba datang,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Bercerita lanjut, anak jati Terengganu ini mengakui kehidupan di ibu kota adakalanya membuatnya terasing daripada identiti asal sebagai seorang anak kampung yang sederhana.
Ujar Amir, memori zaman kanak-kanak seperti memanjat pokok manggis dan menikmati buah rambutan adalah sebahagian daripada jati diri yang sering dirindukannya setiap kali berdepan tekanan hidup di bandar besar.
“Saya ini hanya budak kampung. Apabila kita sudah terbiasa dengan kehidupan kota, ada masanya kita hilang pegangan terhadap akar umbi sendiri.
“Naskhah Baga ini bukan sekadar sebuah filem bagi saya, ia adalah personal favorite kerana ia mengembalikan identiti saya sebagai anak Terengganu yang sentiasa berpijak di bumi nyata,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Amir menyifatkan segala pencapaian yang diraihnya hari ini, termasuk memenangi Pelakon Harapan Lelaki, Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-34 sebagai bentuk penghargaan daripada Tuhan.
Malah, dia berkata penerimaan penonton terhadap karyanya hari ini juga disifatkan sebagai peluang daripada Allah.
“Peluang untuk bernafas dan bekerja sehingga ke tahap ini semuanya dengan izin-Nya. Saya percaya ini bukan sebab kehebatan saya, tetapi kerana kasih sayang Tuhan.
“Saya cuma seorang pendosa, sama seperti manusia lain. Jadi, apabila orang menghargai bakat saya, saya berasa sangat kerdil dan bersyukur.
“Terima kasih kerana masih memberi ruang untuk saya terus berkarya,” katanya.
Filem Baga yang menampilkan sisi berbeza lakonan Amir Ahnaf sebagai seorang penagih dadah bernama Jani mula menemui penonton bermula 5 November lalu. -UTUSAN
The post Saya hanya budak kampung – Amir Ahnaf kenang fasa ‘hilang’ dua tahun lalu appeared first on Utusan Malaysia.





