
KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan beliau hanya tahu mengenai titah menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir melalui media.
Ahmad Zahid berkata, beliau dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim tidak dititahkan menghadap.
“Tiada. Saya dan Menteri Besar Negeri Sembilan tidak pernah dititah untuk menghadap. Kami tahu hanya daripada media sahaja.
“Pada hemat saya, masalah negeri harus diselesaikan secara baik di Negeri Sembilan,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan University Research and Innovation Investment Summit (URIIS) 2026 di sini semalam.
Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Semalam, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Tuanku Muhriz di Istana Negeri Sembilan, Changkat Persekutuan, di sini hampir sejam susulan kemelut membabitkan institusi diraja dan pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan.
Laporan media turut melaporkan Ahmad Zahid dan Ismail antara pihak bersama Perdana Menteri menghadap Tuanku Muhriz.
Ditanya lanjut berkenaan kemelut di Negeri Sembilan, Ahmad Zahid menyerahkan polemik berkenaan kepada penjelasan yang sudah diberikan Menteri Besar.
“Pada hemat saya, soal interpretasi dalam perundangan dan soal kuasa bukan hanya membabitkan tafsiran undang-undang, tetapi institusi serta juga establishment (struktur pemerintahan yang sedia ada) di Negeri Sembilan juga harus dihormati,” katanya.
Krisis Negeri Sembilan berlarutan sejak April lalu yang menyaksikan Undang Yang Empat mengumumkan proklamasi menurunkan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Undang Yang Empat kemudiannya memasyhurkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Jaafar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12.
Semalam, Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (EXCO) kerajaan negeri, berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali, keputusan itu dibuat selepas mendapati kesemua EXCO terbabit memungkiri sumpah jawatan mereka.
Beliau berkata, menurut Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, seseorang EXCO kerajaan negeri memegang jawatannya selagi diperkenan Yang di-Pertuan Besar.
Bagaimanapun, Ismail pula mendakwa tindakan memberhentikan atau menamatkan keahlian seseorang EXCO kerajaan negeri yang dibuat tanpa nasihat atau permintaan daripada Menteri Besar adalah satu kekhilafan dari sudut perundangan, tidak berperlembagaan dan tidak mempunyai sebarang kuat kuasa undang-undang.
Menteri Besar juga mendakwa, beliau tidak pernah dirujuk atau pada bila-bila masa memberi nasihat berkenaan pemberhentian mana-mana EXCO Kerajaan Negeri Sembilan menurut Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS).
The post ‘Saya hanya tahu melalui media’ appeared first on Kosmo Online.





