Saya Hormat Kebebasan Media, Tapi Akan Tegur Jika Laporan Menimbulkan Fitnah - Fahmi

LocalPolitics
1 Apr 2023 • 6:47 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Fahmi bertemu dengan Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman serta pengurusan tertinggi Media Prima. - Gambar daripada Facebook Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menegaskan beliau menghormati dan akan sentiasa mempertahankan hak serta kebebasan media di negara ini.

Namun, katanya, teguran perlu diberikan sekiranya wujud salah faham yang boleh menimbulkan fitnah, antaranya apabila tajuk dipilih untuk siaran laporan media, jauh ‘tersasar’ daripada isi kandungan sebenarnya.

“Alhamdulillah selepas solat Jumaat tadi (semalam), saya berpeluang mengadakan pertemuan bersama Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman serta pengurusan tertinggi Media Prima.

“Ini berikutan satu post (hantaran) Facebook Berita Harian mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang menimbulkan kekeliruan hingga menjadi fitnah tersebar luas,” katanya.

Menerusi laporan itu, ia menampilkan tajuk ‘OPR dijangka naik sekali lagi seawal Julai’, sekali gus menerima pelbagai respon daripada warga maya.

Fahmi turut memberikan maklum balas di ruangan komen status dimuat naik di BH Online itu.

image is not available

‘Ini Fitnah, rencana dengan jelas kata ini pandangan penganalisis, bukan keputusan Bank Negara Malaysia mahupun kerajaan.

“Berita Harian Online wajib betulkan dan jelaskan,” katanya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, apa yang mencetuskan kekeliruan adalah walaupun rencana itu sekadar memetik pendapat seorang penganalisis dan beliau tiada masalah dengan laporan terbabit, ia jauh berbeza dengan maksudnya kerana memberi gambaran seolah-olah Bank Negara Malaysia (BNM) atau kerajaan membuat keputusan berkenaan.

“Ini tidak benar dan tidak adil kepada BNM dan kerajaan,” katanya.

Pada masa sama, Fahmi berkata, pada pertemuan terbabit, pengurusan BH faham apa dimaksudkannya berhubung perkara berkenaan dan bersetuju membetulkan hantaran itu.

“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada pasukan pengurusan di atas kerjasama ini.

“Kami juga sempat bertukar pandangan mengenai isu kebebasan media, etika kewartawanan serta cabaran ekonomi dihadapi industri,” katanya.

Pada 9 Mac lalu, BNM mengumumkan bahawa (OPR) dikekalkan pada kadar 2.75 peratus.

Keputusan berkenaan dibuat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) bank itu pada mesyuarat hari sama.

Ia adalah sama dengan keputusan dibuat pada Januari lalu, walaupun BNM dijangka menaikkan kadar terbabit daripada 2.75 peratus ditetapkan sebelumnya kepada 3.00 peratus pada tahun ini.

Institusi kewangan pusat negara itu sebelum ini menaikkan OPR empat kali berturut-turut sepanjang tahun lalu, iaitu pada Mei, Julai, September dan November. - Getaran, 1 April 2023