‘Saya jual ikan duit sendiri, tanpa satu sen duit rakyat’

LocalPolitics
24 Oct 2026 • 11:40 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Saya jual ikan duit sendiri, tanpa satu sen duit rakyat’

PETALING JAYA – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh menjawab sindiran Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd. Sany Hamzan berhubung kenyataan yang memperlekehkan tindakannya menjual ikan.

Dr. Muhamad Akmal menerusi hantaran Facebook berkata, jualan tersebut menggunakan ikan ternakannya sendiri serta tidak melibatkan satu sen daripada duit rakyat.

“Nak memperlekehkan orang jual ikan ikut kamu lah wahai Sany. Sekurang-kurangnya saya jual ikan milik saya dan guna duit saya sendiri tanpa satu sen duit rakyat saya gunakan.

“Kawan-kawan DAP kamu minta sumbangan rakyat untuk bayar saman kamu diam membisu. Malah ada yang jual seluar dalam untuk kutipan dana pun kamu tidak perlekehkan pula ya. Oh lupa, abang besar jangan disentuh,” katanya hari ini.

Terdahulu media melaporkan, Mohd. Sany menyindir seorang ketua pemuda parti politik yang pernah melaungkan slogan mempertahankan Melayu, Islam dan institusi diraja, tetapi menurutnya kini memperlihatkan percanggahan pendirian dalam isu membabitkan institusi diraja Negeri Sembilan.

Sindiran itu dilontarkan ketika beliau membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, dengan mempersoalkan sikap pihak yang menggunakan sentimen bangsa, agama dan raja untuk meraih sokongan politik.

“Dulu ada satu ketua pemuda yang sekarang ini jual ikan tu, yang dia kata, ‘jangan ganggu raja kami, jangan ganggu agama kami, jangan ganggu bangsa kami’,” kata Mohd. Sany yang dipetik daripada laporan tersebut.

Sebelum ini, Dr. Muhamad Akmal Saleh membuka bidaan bagi dua aset kesayangannya, motosikal Honda X-ADV dan ternakan ikan tilapia, bagi membantu menjelaskan ganti rugi serta kos berjumlah RM300,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Semalam Kosmo! melaporkan, Dr. Muhamad Akmal Saleh dijangka berjaya mencukupkan RM300,000 bagi membayar ganti rugi dan kos saman fitnah kepada Teresa menggunakan hasil jualan aset serta simpanan sendiri dan keluarga.

Menurutnya, motosikal Honda X-ADV kesayangannya berjaya dijual pada harga RM150,000, manakala jualan keseluruhan ikan daripada kolam ternakannya memperoleh hampir RM30,000. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Saya jual ikan duit sendiri, tanpa satu sen duit rakyat’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved