Sudah Berjaya Jual Motor & Ikan, Akmal ‘Tolak’ Wang Sumbangan RM173k & Mahu Infak Kepada Yang Memerlukan [Video]

LocalPolitics
23 Oct 2026 • 1:48 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Sudah Berjaya Jual Motor & Ikan, Akmal ‘Tolak’ Wang Sumbangan RM173k & Mahu Infak Kepada Yang Memerlukan [Video]

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Baru-baru ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh telah membuka bidaan dua aset kesayangannya, Motosikal Honda X-ADV dan ikan tilapia ternakan bagi membayar ganti rugi keseluruhan RM300,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Ia susulan kes saman fitnah difailkan oleh Teresa pada 25 Oktober 2024 yang mendakwa Akmal telah mengeluarkan kenyataan menghina serta merendahkan dirinya menerusi satu video di Tiktok pada 7 September 2024.

Jelas Akmal, jumlah RM300,000 itu amat besar apatah lagi simpanan sedia ada masih belum mencukupi untuk melangsaikan jumlah tersebut.

Baca Artikel Berkaitan: Kalah Saman Fitnah, Akmal Saleh Buka Bidaan Motosikal & Ikan Tilapia Ternakan Untuk Bayar Teresa Kok RM300,000

Dua Aset Telah Berjaya Terjual, Jumlah Keseluruhan Jualan Cecah RM180k

Terbaharu, Akmal dalam satu kenyataan di Facebook mendedahkan kedua-dua aset tersebut berjaya dijual dengan jumlah jualan keseluruhan yang diperolehinya mencecah RM180k.

Jumlah itu sekaligus mencukupkan wang simpanannya bagi membantu beliau untuk membayar ganti rugi keseluruhan berjumlah RM300,000 kepada Teresa.

Kongsi Akmal, Motosikal Honda X-ADV telah dapat dijual dengan harga RM150,000 manakala jualan ikan tilapia di kolamnya pula mencecah hampir RM30,000.

“Alhamdulilah motor X-ADV kesayangan saya telah dapat dijual dengan harga RM150k dan jualan keseluruhan ikan dalam kolam saya telah mengumpul hampir RM30k, menjadikan jumlah keseluruhan jualan kepada RM180k.

“Pada masa yang sama, dicampur dengan jumlah simpanan saya dan keluarga insya-Allah boleh mencukupkan kepada RM300k menjelang minggu hadapan,” tulisnya.

Terima Sumbangan Lebih RM173,000, Mohon Izin Wang Disalurkan Kepada Mereka Yang Memerlukan

Tambah Akmal lagi, dia juga berterima kasih kepada orang ramai yang membantu memasukkan sejumlah wang meskipun beliau sudah meminta orang ramai agar tidak menderma kepadanya.

“Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang membantu dan mendoakan malah selepas saya meminta untuk org ramai supaya tidak menderma kepada saya, tetap juga ada insan yang berhati mulia memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun saya dan ada juga yang datang sendiri berjumpa dengan saya untuk membantu.

“Saya sangat-sangat berterima kasih dan segala jasa anda tidak mampu saya balas satu persatu,” tulisnya.

Jelas Akmal, sehingga kenyataan itu dibuat, dia telah menerima wang sumbangan bernilai RM173,733.61 daripada pelbagai pihak.

Oleh itu, dia berhasrat mahu menyumbang keseluruhan wang tersebut kepada mereka yang memerlukan dan memohon izin kepada pihak yang telah memberi sumbangan untuk bertindak demikian.

Tambahnya, dia akan memperincikan setiap agihan sumbangan tersebut di media sosial.

“Sehubungan dengan itu saya ingin meminta izin dari anda semua yang telah memberi sumbangan pada saya untuk saya menginfakkan jumlah keseluruhan yang disumbangkan kepada saya untuk saya agihkan kepada mereka yang lebih memerlukan.

“Setiap sen duit anda yang diberikan kepada saya akan saya serahkan kepada mereka yang lebih memerlukan.

“Segala perincian setiap sen yang akan diagihkan saya akan maklumkan di dalam media social saya.

“Insya-Allah izinkan saya menjadi orang tengah untuk menyampaikan setiap sen yang anda sumbangkan kepada saya untuk saya sampaikan kepada mereka yang memerlukan,” tulisnya.

Akmal Saleh Mohon Orang Ramai Henti Beri Sumbangan

Pada masa sama, Akmal turut memohon orang ramai untuk tidak menyalurkan lagi sumbangan kepada akaun banknya itu.

“Saya mohon sekali lagi untuk tidak lagi memasukkan duit ke akaun saya agar urusan pengagihan sumbangan anda dapat berjalan dengan lancar,” tulisnya.

Akmal Saleh Jelas Tiada Langsung Niat Untuk Mohon Derma, Cuba Habis Baik Untuk Usaha Sendiri

Tegas Akmal dalam hantaran sama, dia tiada niat untuk meminta derma dan mahu berusaha sendiri bagi mencukupkan jumlah simpanan sedia ada bagi membayar ganti rugi terbabit.

“Walaupun ada yang menghina dengan kata-kata kesat dan prasangka jahat mengatakan apa yang saya buat ini adalah drama untuk saya memohon derma tetapi saya ingin memaklumkan seperti kenyataan sebelum ini.

“Saya hanya berniat untuk menjual aset yang saya ada untuk mencukupkan jumlah yang perlu dibayar kerana simpanan saya yang sedia ada tidak mempunyai jumlah yang cukup dan tidak ada langsung niat untuk saya memohon derma selagi saya mampu untuk menanggungnya bersendirian.

“Segala prasangka jahat dan kata-kata kesat yang dilemparkan kepada saya, saya terima dengan hati yang terbuka dan doakan agar Allah melindungi mereka daripada kata-kata dan prasangka jahat yang dilemparkan berbalik kepada diri mereka dan keluarga mereka.

Malah, Akmal sekali lagi menzahirkan penghargaan kepada mereka yang membantu serta memberi sumbangan kepadanya.

“Terhutang budi dan nyawa saya atas kebaikan yang anda berikan kepada saya. Terima kasih, terima kasih dan terima kasih,” tulisnya lagi.

Terdahulu, Teresa telah memfailkan saman fitnah terhadap Akmal berhubung kenyataan yang didakwa berunsur fitnah yang ditujukan kepada beliau mengenai isu pensijilan halal negara.

Teresa mendakwa Akmal telah memfitnahnya menerusi dua artikel yang diterbitkan oleh sebuah media bertajuk ‘Akmal: Saya Minta Kerajaan Sediakan Logo Non-Halal, Tampal Pada Dahi Teresa’ dan ‘UMNO Youth Chief swipes at ‘old Nyonya’ Teresa over halal cert’.

Selain ganti rugi keseluruhan berjumlah RM300,000, Mahkamah Tinggi Ayer Keroh, Melaka turut memerintah Akmal menurunkan hantaran berkaitan selama tujuh hari selain melarang dia dari mengulangi kenyataan berkenaan.

Baca Artikel Berkaitan: Teresa Kok Tuntut Ganti Rugi RM25 Juta, Akmal Respon ‘Kita Jumpa Di Mahkamah’

Baca Artikel Berkaitan: “Bring It On” – Dr Akmal Saleh Tidak Gentar Jika Teresa Kok Mahu Ambil Tindakan Undang-Undang

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved