MACHANG - "Saya kini hafiz al-Quran. Selepas hanya mengambil masa setahun lapan bulan 14 hari untuk menghafal 30 juzuk."
Demikian luah Muhammad, 36, seorang banduan bagi kesalahan Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang kini sedang menjalani hukuman di Pusat Pemulihan Akhlak Machang di sini selama tujuh tahun bermula Disember 2023 lalu.
Menurut bekas pendidik itu, dia sama sekali tidak pernah terfikir akan bergelar hafiz al-Quran pada usia sebegini selepas disabitkan kesalahan jenayah.
Ujar bapa kepada tiga orang anak itu, hukuman yang diterima atas kesalahan yang pernah dilakukan pada awalnya seperti 'menguburkan' kesemua impian serta cita-citanya sebelum ini.
Namun, katanya, siapa sangka ia merupakan permulaan kepada sesuatu yang tidak pernah dibayangkan malah menjadi perkara paling 'manis' sebagai umat Islam.
"Dalam keluarga saya ada seorang hafiz al-Quran iaitu adik.
"Semasa kecil, saya pernah bertanya kepada ayah mengapa hanya menghantar adik ke sekolah tahfiz dan bukan saya sekali. Ayah kata saya 'lambat' untuk menghafal," katanya yang merupakan anak kedua daripada lapan beradik dan berasal dari Kota Bharu.
Menurutnya, siapa sangka hanya dengan mengambil masa setahun, lapan bulan dan 14 hari sahaja, dirinya kini bergelar hafiz pada usia 36 tahun.
Muhammad memberitahu, ia sesuatu yang sehingga kini sukar untuk dipercayai sehingga menyebabkan ayahnya menangis kegembiraan apabila dimaklumkan tentang kejayaan tersebut.
Katanya, pada awal kemasukan, dia ditawarkan untuk menyertai Sekolah Tahfiz Al-Quran Al-Furqan, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan lulus temu duga yang dibuat.
"Saya juga kini merupakan tenaga pengajar al-Quran di sini dengan mengajar banduan lain.
"Saya juga merupakan penerima Insentif Huffaz Al-Quran MAIK bagi tahun 2026 yang menawarkan ganjaran sebanyak RM7,200 setahun atau RM600 sebulan," katanya.
Menurut Muhammad lagi, selepas dibebaskan pada 2029 nanti, dia merancang untuk menjadi tenaga pengajar kerana jiwa pendidik masih 'segar' dalam hidupnya.






