'Saya lihat anak-anak bergelimpangan’ – Bapa sebak anak sulung maut, tiga lagi anak parah

LocalFamily & Parenting
24 Oct 2026 • 3:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Saya lihat anak-anak bergelimpangan’ – Bapa sebak anak sulung maut, tiga lagi anak parah
Noorwandi menunjukkan gambar arwah anaknya, Putera Muhaimin (gambar kecil) yang terkorban dalam nahas di Jalan Johor Bahru-Melaka, Bagan, Batu Pahat.

BATU PAHAT- Seorang bapa tidak dapat menahan sebak apabila melihat empat anaknya cedera parah dan tidak sedarkan diri selepas kereta dinaiki terbabas di Jalan Johor Bahru-Melaka, dekat Bagan, di sini pada Jumaat.

Noorwandi A Rahim, 41, berkata, dia bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada adiknya yang memaklumkan kereta dinaiki anaknya bersama adik perempuan dan adik iparnya terbabit dalam kemalangan kira-kira jam 10 malam.

Menurutnya, ketika kejadian, dia dan isterinya, Norfarahin Mohammad, 38, baru tiba di rumah selepas keluar makan malam bersama di sebuah pusat beli-belah.

“Saya dan isteri menaiki motosikal, manakala anak-anak menaiki kereta yang dipandu adik ipar.

“Sebaik tiba di lokasi, saya melihat anak-anak saya bergelimpangan. Putera Muhaimin Qudrat Mohd Noor Wandi, 16, pula dalam keadaan tertiarap dengan mukanya dipenuhi pasir dan petrol.

“Saya kemudian membaringkan anak saya, namun dia hanya menunjukkan tindak balas sekali sebelum senyap. Pasukan perubatan cuba memberikan bantuan, tetapi anak saya disahkan meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), di sini.

Noorwandi berkata, tiga lagi anaknya yang turut cedera dalam kejadian itu ialah Puteri Nur Fairuza Balqis, 15, Putera Khairunas, 11, dan Putera Aidin Firdaus, tiga tahun.

Katanya, anak bongsunya, Putera Aidin Firdaus, kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNI akibat pendarahan di kepala serta patah kedua-dua tangan, kaki dan bahu.

“Puteri Nur Fairuza Balqis mengalami patah paha dan kecederaan di dada, selain sedikit pendarahan di kepala, manakala Putera Khairunas turut mengalami kecederaan. 

“Adik saya, Rahmah A Rahim, 26, isteri Nor Azlan, stabil dan sudah dimasukkan ke wad,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, siasatan awal mendapati kereta berkenaan dalam perjalanan dari arah Batu Pahat menghala ke Parit Moin, Bagan.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu dipercayai hilang kawalan sebelum kereta terbabas dan melanggar sebatang pokok di tepi jalan.

“Ketika kejadian, kereta itu dipandu seorang lelaki warga tempatan bersama lima penumpang, termasuk isteri dan empat anak saudaranya yang berusia antara dua hingga 16 tahun.

“Akibat perlanggaran itu, seorang anak saudara pemandu mengalami kecederaan parah di kepala dan dada sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu cedera pada kedua-dua kaki serta mengalami pendarahan dalaman,” katanya.

Beliau berkata, semua mangsa yang cedera masih dirawat di HSNI dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved