
Webest Group adalah antara pemain utama dalam industri pembinaan dan hartanah di Melaka, ia bermula daripada projek secara kecil-kecilan dan kini memiliki projek sedia ada dengan nilai pembangunan kasar lebih RM500 juta.
Terbaharu syarikat telah meneroka pasaran hartanah di Putrajaya, Johor dan Pulau Pinang, selain telah memeterai perjanjian dengan Marriot International untuk membangunkan Moxy Melaka yang memiliki 153 bilik bakal beroperasi awal tahun depan.
Bagi Pengarah syarikat, Lydia Lim, beliau tidak kekok langsung berada di lokasi pembinaan kerana sejak kecil Lydia sudah membiasakan diri dengan kerja-kerja lasak malah sehingga kini, beliau masih turun padang dengan gaya, pemakaian dan solekannya yang bersahaja membuatkan dirinya lebih selesa berada di belakang tabir tetapi padat dengan idea kepimpinan hasil tunjuk ajar daripada bapanya.
“Hadir sebagai generasi kedua kini, saya melihat peranan saya bukan sekadar meneruskan apa yang telah dimulakan oleh bapa. Beliau telah membina asas yang kukuh dan kini tanggungjawab saya untuk memperkukuh asas tersebut sambil membawa Webest melangkah ke babak seterusnya.
“Visi saya adalah untuk menjadikan Webest sebagai pemaju butik yang dihormati ,” katanya dalam temu bual baru-baru ini.

KOSMO!: Sebagai generasi penerus Webest, bolehkah anda berkongsi lebih lanjut mengenai perniagaan keluarga dan bagaimanakah latar belakang keluarga membawa anda ke jawatan sekarang?
LYDIA: Sektor asal kami sebenarnya adalah pembinaan dan secara beransur-ansur kami beralih kepada perkhidmatan kontraktor utama dan akhirnya pembangunan hartanah.
Sejak kecil, Webest sentiasa menjadi sebahagian daripada kehidupan saya, namun pada awalnya saya tidak pernah terfikir bahawa saya akan mengambil alih perniagaan ini suatu hari nanti.
Saya melihat ibu bapa saya bekerja, bertemu orang ramai dan membuat keputusan, tetapi saya tidak memahami sepenuhnya tekanan dan tanggungjawab di sebalik mengendalikan sesebuah perniagaan.
Atas sebab itu, apabila bermulanya kerjaya saya, saya mahu memahami perniagaan ini dari peringkat akar umbi dan bukannya terus menyandang jawatan tinggi semata-mata kerana saya anak kepada pengasas.
Saya bermula dalam bidang pembangunan perniagaan dan jualan, dan secara berperingkat mula terlibat dalam pelbagai aspek syarikat. Pengalaman tersebut sangat penting bagi saya kerana saya tidak mahu mewarisi sekadar jawatan, tetapi mahu benar-benar memahami selok-belok perniagaan ini.
Sebagai pemimpin generasi kedua, anda memikul tanggungjawab yang besar. Sejauh manakah kesediaan anda untuk menghadapi cabaran perniagaan ini?
Saya percaya bahawa menjadi generasi penerus hadir bersama tanggungjawab yang amat besar dan saya tidak memandang ringan perkara ini.
Sememangnya wujud satu fasa di mana saya merasakan perlu membuktikan kemampuan saya untuk membuat keputusan sendiri. Apabila anda merupakan anak pengasas, orang ramai secara semula jadi akan tertanya-tanya sama ada anda berkeupayaan menerajui perniagaan secara berdikari atau sekadar mengikut jejak langkah generasi terdahulu.
Lama-kelamaan, saya menyedari bahawa berdikari tidak bermakna kita perlu menolak bimbingan generasi terdahulu.
Bapa saya mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam membina syarikat ini, maka terlalu banyak perkara yang boleh saya pelajari daripada beliau. Pada masa yang sama, saya perlu mempunyai keyakinan untuk membuat keputusan sendiri serta bertanggungjawab ke atas sebarang hasilnya.
Bagi saya, matlamatnya bukanlah untuk beroperasi tanpa bimbingan. Matlamat sebenar adalah untuk mencapai tahap di mana kita mampu membuat keputusan dengan penuh keyakinan sambil kekal tahu bila masa yang sesuai untuk mendengar nasihat. Keseimbangan inilah yang menjadi teras penting dalam membentuk pemimpin generasi kedua yang matang.

Bagaimanakah anda melihat peluang untuk mempelbagaikan perniagaan melangkaui pembangunan kediaman?
Portfolio kami pada hari ini mencerminkan evolusi perjalanan Webest, kami bermula daripada akar pembinaan dan secara beransur-ansur beralih ke pembangunan hartanah kediaman. Antara pembangunan utama kami termasuklah 29 Reserve di Melaka, Amai Residence di Putrajaya serta projek-projek di Johor dan Pulau Pinang.
Pada masa yang sama, kami mula mempelbagaikan perniagaan melangkaui pembangunan kediaman tradisional, terutamanya dalam sektor perhotelan melalui transformasi hotel sedia ada kami menjadi Moxy Melaka.
Sebagai generasi penerus, saya tidak melihat peranan saya sekadar meneruskan apa yang dimulakan oleh generasi terdahulu, sebaliknya mahu terus membina dan memperluaskannya.
Pembangunan kediaman akan terus menjadi teras penting buat syarikat, tetapi saya juga melihat peluang besar dalam sektor perhotelan, pembangunan bercampur serta bidang-bidang pelengkap yang lain.
Bagi saya, kepelbagaian perniagaan bukanlah bermaksud menceburi seberapa banyak sektor yang boleh. Sebaliknya, ia adalah tentang mengenal pasti bidang di mana kita boleh mengaplikasikan kekuatan sedia ada untuk mencipta nilai jangka panjang.
Webest telah membangunkan beberapa projek kediaman daripada tanah rezab Melayu di Melaka. Bagaimanakah model ini mencipta nilai kepada pemilik tanah Melayu?
Satu bidang yang amat saya beri perhatian adalah tanah rezab Melayu. Selama ini, kami telah mengenal pasti beberapa tapak tanah di Melaka yang terletak di lokasi strategik serta mempunyai potensi pembangunan yang baik, tetapi belum dimanfaatkan sepenuhnya atas pelbagai faktor.
Daripada sekadar memandang tapak-tapak ini sebagai peluang tanah biasa, kami melihatnya sebagai peluang untuk bekerjasama dengan pemilik tanah Melayu bagi menjana dan memaksimumkan nilai tanah mereka. Taman Padang Ria adalah salah satu projek kami yang telah siap, Taman Pendamar Indah sedang dibangunkan dan Taman Balai Panjang adalah satu lagi peluang yang sedang kami bangunkan.
Apa yang membuatkan model ini bermakna bagi saya ialah ia mampu mencipta nilai saksama untuk kedua-dua pihak. Pemilik tanah dapat mengoptimumkan potensi aset yang mungkin terbiar tanpa pembangunan, manakala Webest menyumbangkan kepakaran pembangunan dan pembinaan untuk mentransformasikan tanah tersebut menjadi projek yang sempurna.
Dalam erti kata lain, kami tidak sekadar mengambil alih tanah. Kami membantu pemilik tanah mentransformasikan aset yang belum dimanfaatkan sepenuhnya menjadi sesuatu yang mampu memberi nilai jangka panjang kepada keluarga mereka.
Saya percaya perkara ini amat relevan di Melaka kerana masih terdapat banyak lot tanah strategik yang belum mencapai potensi sepenuhnya.
Kenapa tanah rezab Melayu unik dalam pasaran di Melaka?
Pasaran tanah rezab Melayu mempunyai keunikannya tersendiri kerana pembeli akhir sangat terikat rapat dengan komuniti tempatan.
Kita tidak boleh sekadar mengambil produk kediaman konvensional, membinanya di atas tanah tersebut dan mengandaikan ia akan berjaya. Kita perlu memahami selok-belok lokasi, komuniti sekitar, keperluan isi rumah serta tahap kemampuan mereka.
Selain itu, saya melihat wujudnya peluang untuk mengubah persepsi umum bahawa projek tanah rezab semestinya berkaitan dengan perumahan kos rendah atau kompromi dari segi kualiti. Pembeli rumah Melayu juga berhak mendapat rekaan kediaman yang baik dan berkualiti.
Mengapakah anda memutuskan untuk melakukan penjenamaan bagi hotel sedia ada berbanding membangunkan hotel baharu dari awal?
Bagi saya, Moxy bukan sekadar penambahan satu lagi portfolio hotel. Ia adalah tentang melihat aset sedia ada dari sudut pandang berbeza dan bertanyakan bagaimana kita boleh membuka babak baharu buat aset tersebut.
Hotel ini terletak di lokasi yang amat strategik di jantung kawasan warisan Melaka, di mana kami sudah pun mempunyai lokasi kukuh serta aset fizikal sedia ada.
Daripada bermula sepenuhnya dari sifar, kami melihat peluang untuk menstruktur semula dan menjenamakannya di bawah jenama perhotelan antarabangsa seperti Marriott Moxy.
Di samping itu, konsep guna semula adaptif (adaptive reuse) mempunyai nilai yang sangat bermakna. Kami mengambil bangunan sedia ada dan memberikannya identiti serta tujuan baharu berbanding meroboh dan bermula semula.
Daripada perspektif perniagaan pula, sektor perhotelan memberikan pendedahan yang berbeza buat Webest.
Pembangunan hartanah sebahagian besarnya berasaskan projek, manakala perhotelan membolehkan kami membina perniagaan yang beroperasi secara berterusan serta menjana pendapatan berulang (recurring income) untuk jangka panjang. Lebih penting lagi, ia memberi ruang kepada kami untuk mempelajari aspek industri yang berbeza, daripada pengalaman pelanggan, perkhidmatan, operasi sehinggalah pengurusan aset.

Melihat ke hadapan, di manakah anda melihat kedudukan Webest dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang?
Visi saya adalah untuk menjadikan Webest sebagai pemaju butik Malaysia yang dihormati dan dikenali kerana kualiti, bukannya kuantiti. Saya tidak mahu Webest menjadi syarikat yang membina projek paling banyak, sebaliknya mahu orang ramai berkata: “Jika WEBEST yang membinanya, saya yakin ada pemikiran mendalam di sebaliknya.”
Kami mahu terus berkembang melangkaui Melaka, membina kehadiran serantau yang lebih kukuh, dan mempelbagaikan perniagaan ke sektor seperti perhotelan, sambil kekal berdisiplin terhadap peluang-peluang yang kami terokai.
Namun, pertumbuhan tidak memberi makna jika kita kehilangan keunikan yang menjadi teras syarikat. Tuju dan matlamat kami sangat mudah: Build Things That Matter (Membina Sesuatu yang Bermakna).
Bagi saya, itu bermakna membina bangunan yang baik, dan pada masa yang sama membina syarikat yang kukuh, pasukan yang hebat, serta sesuatu yang mampu terus memberi nilai melangkaui generasi saya.
Saya tidak mahu generasi ketiga mewarisi satu bebanan kewajipan semata-mata.
Saya mahu membina sebuah syarikat yang cukup kukuh, bermakna dan mengujakan sehingga generasi seterusnya secara sukarela mahu menjadi sebahagian daripadanya. Dan akhirnya, saya berharap warisan yang saya tinggalkan bukan sekadar membesarkan saiz Webest, tetapi menjadikannya sebuah syarikat yang jauh lebih baik. -KOSMO! ONLINE
The post Saya mahu bina syarikat yang kukuh, pasukan hebat, beri nilai melangkaui generasi- Lydia appeared first on Kosmo Online.






