Harga minyak tinggi, sokong sektor O&G kekal positif 

Business & Finance
14 Sep 2026 • 8:15 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Harga minyak tinggi, sokong sektor O&G kekal positif 

PETALING JAYA: Sektor minyak dan gas (O&G) tempatan dijangka kekal berdaya saing berikutan sokongan persekitaran harga minyak mentah yang tinggi, selain penekanan yang lebih tegas terhadap kecekapan pelaksanaan projek serta kerjasama strategik antara operator dan syarikat perkhidmatan.

CIMB Securities berkata, penganjuran Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Minyak & Gas Malaysia ke-8 (MOGSEC 2026) mengetengahkan keutamaan industri untuk memendekkan tempoh daripada penemuan awal sehingga pengeluaran hidrokarbon pertama. 

Katanya, Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) menyasarkan setidak-tidaknya 70 peratus kepastian kos dan jadual semasa Keputusan Pelaburan Akhir (FID) ditetapkan.

“Bagi mencapai sasaran itu, penglibatan awal kontraktor dan penyedia teknologi sebelum proses tender rasmi amat digalakkan bagi memperjelas skop projek serta mengurangkan pelarasan semasa fasa pelaksanaan.

“Penggiat perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) turut menggesa peralihan daripada model anugerah berasaskan harga terendah kepada kontrak yang mengganjar penyampaian berprestasi tinggi dan penjimatan kos,” katanya dalam nota penyelidikan.

Contoh kecekapan itu ditunjukkan menerusi susunan pelantar bersepadu (i-RDC) Velesto Energy Berhad bersama Hess, yang menggabungkan pelbagai perkhidmatan bawah satu kontrak dengan potensi ganjaran prestasi.

Mengenai prestasi suku kedua 2026, CIMB Securities berkata, keputusannya adalah pelbagai walaupun dibantu harga minyak dan produk petroleum yang lebih tinggi.

“MISC Berhad mencatatkan kejutan keuntungan tertinggi disokong kadar tambang kapal tangki minyak mentah yang lebih tinggi, manakala Dialog Group Berhad kekal berdaya saing menerusi sumbangan stabil segmen hulu dan hiliran.

“Petronas Dagangan Berhad (PDB) pula mendapat manfaat daripada jurang masa pemprosesan inventori dan jualan bahan api jet, manakala penangguhan kerja penyelenggaraan dan transisi pelantar menjejaskan pendapatan Dayang Enterprise Holdings Berhad serta Velesto Energy,” katanya. 

Mengulas prospek separuh kedua 2026, firma itu menjangkakan pemulihan sektor kekal berperingkat dengan aktiviti pembangunan dan penyelenggaraan hulu dijangka kembali rancak disokong aliran tunai operator yang kukuh.

“Justeru, kami mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap sektor minyak dan gas tempatan.

“Antara saham pilihan ‘beli’ termasuk Dayang Enterprise dengan harga sasaran (TP) RM2.05, Dialog Group (TP: RM2.45), MISC (TP: RM9.37) dan Velesto Energy (TP: RM0.35),” katanya.

CIMB Securities berkata,  antara risiko utama sektor termasuk gangguan bekalan akibat konflik geopolitik, kelembapan ekonomi global serta pertumbuhan permintaan minyak yang lebih lemah. – UTUSAN

The post Harga minyak tinggi, sokong sektor O&G kekal positif  appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved