'Saya mahu jadi ahli politik yang cakap serupa bikin' – Anthony

LocalPolitics
11 Nov 2026 • 12:57 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Saya mahu jadi ahli politik yang cakap serupa bikin' – Anthony
Anthony (kanan) diiringi oleh Hasbi ketika hadir pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan (MOT) buat kali terakhir, selepas peletakan jawatannya berkuasa kuasa semalam. Foto: Bernama

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] “Saya nak nyatakan bahawa saya pilih untuk menjadi seorang ahli politik yang cakap serupa bikin.” Itu penegasan bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang mahu memastikan setiap perkara diperkatakan bukan sekadar omongan kosong, sebaliknya dilaksanakan bagi mempertahankan kredibiliti diri sebagai seorang pemimpin.

Beliau berkata, sikap ahli politik yang sering tidak menunaikan apa diperkatakan menjadi antara punca golongan itu kurang dipercayai masyarakat.

Menurut Anthony, beliau menyedari hakikat bahawa ahli politik sering dianggap sebagai profesion paling tidak dipercayai berdasarkan beberapa tinjauan.

“Ramai orang hari ini tak percaya kepada cakap-cakap orang politik. Orang politik ini jika mengikut banyak survei, profesion yang paling tidak dipercayai.

“Sebab orang politik ini ramai yang berpandangan, cakap tak serupa bikin, bikin tak serupa cakap.

“Maksudnya apa yang saya katakan, apa yang saya cakap itu akan saya buat, akan saya laksanakan dan bukan omong kosong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan (MOT) pada Rabu.

Anthony berkata, setiap kenyataan yang dikeluarkan seseorang pemimpin perlu jelas, sahih dan dilaksanakan kerana ia mencerminkan kredibiliti diri.

“Bagi saya, jawatan boleh hilang tetapi kredibiliti itu mesti dikekalkan,” tegasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, prinsip berkenaan merupakan pegangan hidup yang diajar bapanya, iaitu setiap perkara yang dijanjikan perlu ditunaikan walaupun berdepan kesukaran.

“Apabila kita cakap sesuatu, kita kena tunaikan, kita kena buat. Walaupun kadangkala dia pahit, walaupun kadangkala dia sukar, tetapi apabila dah sebut, itulah yang sepatutnya menjadi pegangan kepada kita,” ujarnya.

Terdahulu, Anthony tiba di MOT jam 10.05 pagi bagi menghadiri majlis tersebut. Ketibaannya disambut oleh Timbalan Menteri Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri M Jana Santhiran serta ketua-ketua jabatan.

Anthony mengumumkan peletakan jawatan yang dipegangnya sejak 47 bulan lalu, berkuat kuasa semalam.

Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung permohonan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Najib menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah di Langgak Duta, berkuat kuasa serta-merta.

Perkembangan itu menyusul selepas Mahkamah Tinggi membatalkan perintah pelepasan Jumaat lalu dan menggantikannya dengan perintah pelepasan baharu terhadap bekas Presiden UMNO berusia 73 tahun itu.

Anthony sebelum ini menegaskan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta sebaik sahaja bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjejak kaki ke kediamannya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved