'Saya masih berharap Anthony Loke ubah fikiran' - Hasbi

LocalPolitics
11 Nov 2026 • 11:27 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Saya masih berharap Anthony Loke ubah fikiran' - Hasbi
Hasbi (kiri) mengiringi Anthony di MOT pada Selasa.

PUTRAJAYA – Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah masih berharap Anthony Loke mengubah fikiran dan mempertimbangkan semula keputusan meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan.

Dedah Hasbi, beliau sendiri menghubungi Anthony sebaik mengetahui hasrat Ahli Parlimen Seremban itu untuk melepaskan jawatan berkenaan.

Menurutnya, beliau secara terus terang meminta Anthony supaya mengubah keputusan tersebut kerana masih banyak perkara perlu diselesaikan di Kementerian Pengangkutan (MOT).

" Sejujurnya, saya beritahu beliau: YB, sudahlah, saya harap YB mengubah fikiran.

"Saya beritahu dia, banyak kerja nak buat lagi ni," katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan MOT dan sambutan Cahaya Madani di sini pada Rabu.

Ujarnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih belum menerima surat peletakan jawatan berkenaan ketika itu.

"PM belum terima lagi surat. Belum ada surat jawapan yes or no," katanya yang turut berseloroh bahawa Anthony masih boleh berkhidmat sehingga hujung tahun," jelas beliau.

Hasbi turut menyifatkan peluang berkhidmat bersama Anthony sebagai satu penghormatan, selain memuji kepimpinan Menteri Pengangkutan itu yang disifatkan sentiasa memberikan kepercayaan dan ruang kepada warga kementerian untuk berkongsi pandangan.

Menurutnya, ketegasan Anthony dalam mempertahankan prinsip, ketepatan membuat keputusan serta komitmen terhadap tadbir urus yang jelas menjadi contoh kepada seluruh warga MOT.

Beliau turut yakin segala dasar, sistem dan budaya kerja yang diterapkan Anthony akan terus menjadi legasi serta panduan kepada kementerian itu.

Mengulas hubungan kerja mereka, Hasbi berkata, perbezaan latar belakang dan parti politik bukan penghalang untuk kedua-duanya bekerjasama demi kepentingan rakyat dan negara.

"Walaupun parti kami berbeza, tetapi misi utama kami sama, buat kerja. Sebab itulah kami betul-betul dua sekawan berjuang sama-sama dalam melaksanakan tugas dan amanah yang diberikan," katanya.

Hasbi turut merakamkan penghargaan kepada Anthony kerana berjaya merealisasikan pembinaan kompleks Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bahagian Limbang, Sarawak, iaitu projek yang diperjuangkannya sejak beberapa penggal lalu.

Beliau berkata, kejayaan projek itu menjadi kenangan bermakna kerana Anthony sendiri turun ke Limbang bagi memastikan kemudahan berkenaan dapat direalisasikan.

Selain itu, Hasbi menyifatkan komitmen Anthony menangani isu kenderaan barangan lebih muatan sebagai satu perjuangan penting yang turut selari dengan pengalamannya ketika berkhidmat selama 22 tahun di Jabatan Kerja Raya (JKR).

Katanya, isu berkenaan sudah lama membelenggu negara kerana kenderaan lebih muatan menjadi antara punca kerosakan jalan raya, sekali gus menyebabkan kerajaan menanggung kos pembaikan yang tinggi.

Justeru, beliau menyifatkan usaha mempergiat tindakan terhadap kenderaan lebih muatan sebagai langkah yang membawa manfaat besar kepada rakyat.

"Sebab itulah saya sangat gembira apabila beliau menyatakan komitmen untuk memerangi isu kenderaan lebih muatan. Bagi saya, ini satu langkah yang sangat baik.

"Sebelum ini, perjuangan saya hanya sekadar satu usaha sebagai penjawat awam, tetapi apabila isu ini diperangi secara bersungguh-sungguh, ia membawa makna yang besar kepada rakyat," katanya.

Terdahulu, Anthony tiba di MOT jam 10.05 pagi bagi menghadiri majlis tersebut. Ketibaannya disambut oleh Hasbi dan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri M Jana Santhiran serta ketua-ketua jabatan.

Anthony mengumumkan peletakan jawatan yang dipegangnya sejak 47 bulan lalu, berkuat kuasa semalam.

Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung permohonan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Najib menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah di Langgak Duta, berkuat kuasa serta-merta.

Perkembangan itu menyusul selepas Mahkamah Tinggi membatalkan perintah pelepasan Jumaat lalu dan menggantikannya dengan perintah pelepasan baharu terhadap bekas Presiden UMNO berusia 73 tahun itu.

Anthony sebelum ini menegaskan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta sebaik sahaja bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjejak kaki ke kediamannya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved