
PUTRAJAYA – Parti DAP masih belum membincangkan calon bagi mengisi kekosongan susulan peletakan jawatan Menteri Pengangkutan berkuat kuasa semalam.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke menyerahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memutuskan perkara tersebut.
Menurut beliau, sebarang perbincangan berhubung pengisian jawatan tersebut akan dibuat bersama Perdana Menteri.
“Ya, serahkan (kepada Perdana Menteri). Perkara ini di bawah bidang kuasa Perdana Menteri. Kita akan berbincang dengan Perdana Menteri,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan dan Sambutan Deepavali di sini, hari ini.
Ditanya mengenai perancangan akan datang, Anthony berkata, beliau akan memberi tumpuan kepada tanggungjawab sebagai Setiausaha Agung DAP dan peranannya sebagai Ahli Parlimen Seremban.
Beliau juga akan terus memberikan sokongan kepada Perdana Menteri dalam Kerajaan Perpaduan di bawah Pakatan Harapan (PH).
Mengenai soalan sama ada beliau mempunyai perancangan untuk kembali memegang jawatan menteri selepas Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, beliau berkata, perkara tersebut hanya akan dijawab selepas pilihan raya berkenaan.
Anthony menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri pada 28 September lalu susulan keputusan Lembaga Pengampunan yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan di rumah.
Beliau memaklumkan tindakan itu berkuat kuasa serta-merta sebaik sahaja bekas Presiden UMNO tersebut menjejakkan kaki di kediamannya di Langgak Duta bagi menjalani baki hukuman penjara di rumah.
The post Pengganti Menteri Pengangkutan belum dibincangkan – Anthony appeared first on Kosmo Online.






