
KUALA LUMPUR – Satu video tular di TikTok baru-baru ini mengundang sebak dalam kalangan netizen apabila memaparkan detik seorang anggota muda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerima hadiah istimewa ketika majlis tamat latihannya.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik oleh pengguna TikTok, @kakdee.official, anggota berkenaan dilihat menerima sebuah jambangan hadiah istimewa yang mengandungi gambar hasil suntingan kecerdasan buatan (AI) bersama arwah bapanya.
Difahamkan, pemilik akaun tersebut menawarkan perkhidmatan menghasilkan hadiah dan kejutan istimewa termasuk suntingan gambar AI bagi menggabungkan semula kenangan bersama insan tersayang yang telah meninggal dunia.
Dalam video tersebut, pemuda itu kelihatan tidak dapat menahan air mata sebaik melihat gambar berkenaan, manakala wanita yang menyampaikan hadiah itu turut dilihat sebak.
Menurut kapsyen yang dikongsikan, hadiah tersebut diberikan sempena kejayaan anggota berkenaan menamatkan latihan TLDM.
“Takde caption… standby jela tisu lengan baju semua. Semoga laskar muda ni sentiasa kuat dalam mengorak langkah kehidupan,” tulis pemilik akaun itu.
Gambar AI Bersama Arwah Bapa Undang Sebak
Lebih menyentuh hati, ramai netizen turut berkongsi bahawa bahagian paling menyayat perasaan adalah apabila anggota terbabit memaklumkan gambar itu dihasilkan menggunakan AI kerana dia tidak pernah memiliki gambar bersama arwah bapanya.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian meluas di media sosial dengan ratusan ribu tanda suka dan ribuan komen daripada pengguna yang mengakui tersentuh melihat momen berkenaan.
Di ruangan komen, ramai turut menzahirkan penghargaan kepada individu yang membantu merealisasikan permintaan tersebut.
“Terima kasih Kak Dee tolong sampaikan isi hati yang tak mampu saya ungkapkan buat adik saya,” tulis seorang pengguna.
Pemilik akaun berkenaan turut membalas komen dengan menyatakan bahawa beliau sering menerima tempahan daripada individu yang mahu menghadiahkan gambar kenangan bersama ahli keluarga yang telah tiada, termasuk bagi meraikan kejayaan anak-anak yang menamatkan latihan ketenteraan.
Rata-rata netizen mendoakan agar anggota muda itu terus tabah meneruskan kehidupan serta berjaya dalam kerjayanya sebagai anggota TLDM. – The Malaysian Update
The post “Saya Minta AI Edit Sebab Kami Tak Ada Gambar Dengan Abah” – Momen Luluhkan Hati Ketika Tamat Latihan TLDM Raih Perhatian appeared first on The Malaysian Update.



