Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Bill Clinton tampil membidas gelombang retorik anti-Islam dan diskriminasi agama yang semakin meningkat di negara itu, sambil menyifatkan beliau sudah muak dengan tindakan pihak yang bersikap prejudis terhadap penganut agama Islam.
Bercakap di pusat ibadat Koinonia Worship Center di Florida, Clinton memetik mesej daripada kitab suci Al-Quran mengenai kepentingan manusia daripada pelbagai latar belakang untuk saling mengenal dan belajar antara satu sama lain.
Artikel berkaitan: Aisyah Hijanah Mohon Maaf, Akui Kesilapan Penulisan Ayat Al-Quran Dalam Buku Terbitannya
Artikel berkaitan: Sebut InshaAllah Ketika Temu Ramah, Peminat Berteka-teki Anne Hathaway Sebenarnya Seorang Muslim?
“Saya sudah penat dengan orang yang memburuk-burukkan umat Islam hanya kerana mereka beragama Islam,” kata Clinton.
Dalam ucapan berkenaan, Clinton mendedahkan bahawa anak perempuannya, Chelsea Clinton telah memperkenalkannya kepada Al-Quran sejak remaja. Menurutnya, Chelsea yang telah membaca teks suci itu kemudiannya menggalakkan beliau untuk turut membacanya.
Clinton menjelaskan bahawa ayat Al-Quran tersebut membawa mesej jelas bahawa setiap masyarakat yang berbeza komuniti sepatutnya berusaha untuk memahami antara satu sama lain, bukannya menjadikan perbezaan sebagai alasan untuk bermusuhan.
Mesej yang disampaikan beliau itu sejajar dengan potongan ayat daripada Surah Al-Hujurat (49:13), yang menyatakan bahawa manusia diciptakan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya mereka saling kenal-mengenali.
“Masyarakat tidak sepatutnya menggunakan perbezaan agama untuk membenarkan diskriminasi atau permusuhan.
Setiap agama mempunyai individu yang melakukan kesalahan kerana manusia itu sendiri tidak sempurna,” tegasnya.
Beliau turut menggesa masyarakat agar melihat kepelbagaian budaya dan agama sebagai satu peluang untuk saling memahami dan bukannya sebagai punca konflik.
Kenyataan berani bekas presiden itu hadir ketika perdebatan politik berhubung persepsi terhadap penganut Islam di AS semakin hangat.
Isu berkenaan kembali mencetuskan kontroversi berikutan serangan politik bertali arus yang dihadapi oleh calon Parti Demokrat, Abdul El-Sayed dalam kempen perebutan kerusi Senat AS di Michigan.
El-Sayed, yang merupakan bekas pegawai kesihatan awam, berhasrat untuk mencipta sejarah sebagai individu Muslim pertama yang dipilih ke Senat AS. Namun begitu, kempen beliau sering menjadi sasaran pihak lawan yang cuba mengaitkannya dengan kumpulan ekstremis.
Sumber: C-Span
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.



