‘Saya nampak pak long dari celah tingkap, mengerang kesakitan’

29 Sep 2026 • 9:26 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Saya nampak pak long dari celah tingkap, mengerang kesakitan’

RAUB – “Bila saya sampai, api sudah besar. Saya cuba panggil pak long (Abdul Hamid), dia me­nyahut tetapi dengan suara menahan kesakitan.

Itu luahan anak saudara kepada mangsa, Abdul Hamid Jaafar, 80, yang mati rentung dalam kebakaran rumah di Kampung Ajai, Kuala Dong di sini malam kelmarin.

Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Mohamad, 30-an berkata, dia menerima maklumat mengenai kejadian itu menerusi aplikasi WhatsApp kira-kira pukul 9.45 malam sebelum bergegas ke tempat kejadian yang terletak tidak jauh dari rumahnya.

“Saya bersama penduduk kampung lain cuba bantu ­memadamkan kebakaran. Masa itu dari celah tingkap saya nampak pak long bersandar di din­ding ruang tamu dalam keadaan lemah,” katanya di sini semalam.

Image from: ‘Saya nampak pak long dari celah tingkap, mengerang kesakitan’

NORJAH (dua dari kanan) ketika ditemui di kediaman anaknya di Kampung Ajai, Kuala Dong, Raub semalam.

Mohamad berkata, keadaan rumah yang terbakar selain terdapat percikan arus elektrik menyebabkan penduduk tidak berani menghampiri mangsa.

“Memang nampak tubuh pak long tetapi kami tidak dapat ­masuk. Ada percikan arus elektrik dan api masih marak serta bahang panas menyebabkan ­usaha kami untuk bantu membawa keluar pak long terbatas.

“Keadaan kesihatan kerana umur yang sudah berusia serta pernah diserang angin ahmar mungkin menyebabkan dia sukar menyelamatkan diri apabila kebakaran berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, isteri mangsa, Rogayah Yahya, 78, berlari ke tepi jalan untuk meminta tolong selepas melihat api mula marak.

Dalam keadaan kelam-kabut, wanita warga emas itu tidak menyedari suaminya masih berada di dalam rumah sehingga penduduk kampung tiba untuk membantu memadamkan kebakaran.

“Saya nampak api sudah besar. Saya terus lari keluar ke jalan raya dan tahan kereta, motosikal dan lori yang lalu, tetapi tiada yang berhenti. Mujur ada seorang penduduk kampung lalu dan berhentikan kenderaan sebelum meminta bantuan daripada penduduk lain.

“Ketika itu saya tidak tahu suami masih di dalam rumah. Saya ingat dia sudah keluar,” katanya ketika ditemui di kediaman anaknya di sini semalam.

Norjah berkata, dia dan suami yang merupakan pesara tentera tinggal berdua di rumah ­berkenaan, manakala anak-anaknya tinggal di luar kawasan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 malam itu, Abdul Hamid ditemukan terperangkap di ­ruang tamu rumah jenis separuh kekal yang terbakar kira-kira 80 peratus.

The post ‘Saya nampak pak long dari celah tingkap, mengerang kesakitan’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved