“Saya Orang Pertama Bagi Kerjasama” – Isu Laporan RCI Tabung Haji, Abdul Azeez Sedia Disiasat Semula

LocalPolitics
30 Jul 2026 • 4:47 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

“Saya Orang Pertama Bagi Kerjasama” – Isu Laporan RCI Tabung Haji, Abdul Azeez Sedia Disiasat Semula

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Pendedahan hasil siasatan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2014 sehingga 2020 masih hangat lagi diperkatakan sehingga kini.

Pelbagai dakwaan yang timbul sebaik hasil laporan itu dinyahklasifikasikan semalam (29 Julai) antaranya seperti ada individu yang didakwa ‘menyakau’ dana dari lembaga tersebut.

Abdul Azeez Sedia Disiasat Semula Jika Benar Wujud Isu Salah Laku

Terbaharu, bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menjelaskan kesediaannya untuk disiasat semula jika benar wujud dakwaan salah laku dalam laporan RCI.

Jelasnya, laporan setebal lebih 200 muka surat itu sebenarnya telahpun siap pada tahun 2022 dan dibentangkan dalam beberapa siri mesyuarat kabinet.

“Saya tidak tahu kenapa tiga tahun lapan bulan ia tidak dikeluarkan. Yang tahu hanya Perdana Menteri. Dalam RCI itu jelas dinyatakan boleh diterbitkan kepada umum.

“Kalau betul saya sakau, tahun 2018 lagi Tun Dr Mahathir Mohamed (bekas Perdana Menteri) dah penjarakan saya. Saya ditahan 14 malam di lokap, disiasat habis-habisan termasuk audit forensik,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.

KP SPRM Telah Keluarkan Surat Tiada Salah Guna Kuasa

Jelas Abdul Azeez, Ketua Pesuruhjaya (KP) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada waktu itu, Tan Sri Azam Baki juga telah mengeluarkan surat rasmi pada tahun 2021 bahawa tiada salah laku atau penyelewengan yang berlaku.

Tambahnya, dia sendiri telah dipanggil oleh pihak polis sebanyak 11 kali bagi membantu siasatan forensik.

Abdul Azeez Persoal Laporan RCI Keluar Ketika PRN Negeri Sembilan

Pada masa sama, Abdul Azeez turut mempersoal mengapa RCI tersebut dikeluarkan ketika musim Pilihan Raya Negeri Sembilan.

“Dua minggu lepas saya tanya pihak polis, mereka kata fail ini sudah dikemas untuk disimpan dan hanya menunggu arahan No Further Action (NFA).

“Jadi kalau nak siasat balik, silakan. Saya orang pertama akan bagi kerjasama yang padu dan jitu, kalau saya curi, saya tanggung. Tapi jangan ulang ayat sakau demi kepentingan politik,” katanya lagi.

Jelas Abdul Azeez, dia juga telah merayu kepada Dr Mahathir, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang merupakan Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Rawa untuk menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan tersebut.

Malah, ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menyandang jawatan Perdana Menteri, Abdul Azeez sekali lagi merayu untuk melakukan perkara sama namun tidak diberikan perhatian.

“Saya nak benda ini dirungkaikan, tapi tak buat. Tapi Alhamdulillah ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jadi Perdana Menteri, beliau bersetuju buat.

“Kalau UMNO sakau, menteri saya curi, saya curi selaku pengerusi TH ketika itu, tidak akan saya nak suruh buat RCI. Rakyat boleh menilai,” jelasnya.

Abdul Azeez Selalu Pengerusi Bukan Eksekutif Tak Mempunyai Kuasa Luluskan Transaksi

Tambah Abdul Azeez lagi, sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif pada ketika itu, dia tidak mempunyai kuasa mutlak untuk meluluskan transaksi atau pelaburan secara bersendirian.

Terangnya, setiap kertas kerja perlu melalui panel pelaburan serta bahagian pengurusan risiko sebelum dibawa ke dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah.

“Saya bukan Pengerusi Eksekutif, saya hanya hanya pengerusi biasa. Pengurusan tertinggi yang bertanggungjawab memberi segala keterangan, laporan terperinci setelah melihat pengurusan risiko terlebih dahulu dan panel pelaburan. Rakyat kena tahu proses itu,”ujarnya.

Minta Pihak Pentadbiran Sedia Ada Tak Nafikan Merit & Rekod UMNO Urus Tabung Haji

Pada masa sama, Abdul Azeez turut meminta agar pihak pentadbiran sedia ada tidak melupakan merit dan rekod UMNO dalam mengurus Tabung Haji sejak tahun 1963.

“Janganlah menteri sekarang nak membodek bos (PM) mendakwa zaman mereka yang paling hebat. Sepanjang 15 tahun berturut-turut, termasuk 7 tahun sewaktu saya di sana, Tabung Haji diiktiraf sebagai pengurusan haji terbaik di dunia.

“Kita berjaya hantar lebih 1.4 juta rakyat Malaysia menunaikan haji dengan sistem kebajikan dan kesihatan yang tiada tandingan. Mereka sekarang hanya memperkasakan dan menahan tiang yang sedia ada, jangan pula menidakkan sumbangan kami sebelum ini,” katanya.

Malah, Abdul Azeez turut merayu agar seluruh rakyat dan pendeposit menilai dengan teliti laporan RCI tanpa dipengaruhi oleh sesiapa.

Memetik Malaysia Gazette, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh sebelum ini turut menggesa kerajaan agar menangkap dan mendakwa individu yang didakwa menyakau dana lembaga tersebut.

Ini kerana jelas Akmal, rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui siapa individu yang didakwa menyeleweng dana TH itu.

Dakwa Akmal lagi, isu berhubung dakwaan penyelewengan dana TH juga telah lama dibangkitkan sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih berada di blok pembangkang.

Walau bagaimanapun, sehingga kini, tiada dakwaan dibuat terhadap mana-mana individu yang didakwa melakukan perbuatan tersebut yang berjaya dibuktikan di mahkamah.

Baca Artikel Berkaitan: Tabung Haji Rugi RM10 Bilion Sebab Tak Ikut Peraturan & Banyak Masalah Sejak 2014 – Anwar

Baca Artikel Berkaitan: Jabatan Audit Negara Gagal Tegur TH Isytihar Hibah 2017 Sebanyak RM2.75 Bilion – RCI Tabung Haji

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved