
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Selain dari kisah anak gajah yang maut akibat dilanggar lori di Lebuh Raya Timur-Barat pada Ahad (11 Mei) lalu, ada sahaja kisah yang menjadi topik hangat di media sosial pada hujung minggu lalu.
Antara yang turut mendapat perhatian adalah insiden langgar lari melibatkan penunggang motosikal dan kenderaan pacuan empat roda, Nissan Navara berhampiran Plaza Tol Jalan Duta di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus).
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 2.30 petang pada 10 Mei lalu, seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun mengalami retak tulang selangka dan luka bahagian buku lali manakala isterinya yang berusia 49 tahun patah buku lali dan tulang rusuk kanan serta pendarahan otak akibat perlanggaran tersebut.
Malah, video rakaman kamera papan pemuka (dashcam) turut tular di media sosial hingga ramai yang mengecam tindakan pemandu trak pikap terbabit dan mahu tindakan sepatutnya diambil.
Namun, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa menjelaskan pemandu kereta berusia 32 tahun itu telahpun ditahan dan direman dua hari bagi membantu siasatan.
Hasil siasatan awal mendapati pemandu terbabit bukanlah pemilik sah sebenar kenderaan pacuan empat roda berkenaan.
Anak Mangsa Sedih & Hati Rasa Kosong
Insiden yang berlaku ternyata memberi kesan kepada anak pasangan suami isteri berkenaan yang meluahkan rasa sedih atas kejadian menimpa kedua ibu bapanya itu.
“Saya tak pernah sehari tak bercakap dengan mama. Sekarang bila saya panggil (dan) dia tak sahut, saya rasa kosong,” katanya yang dipetik daripada Harian Metro.
Anak pasangan suami isteri berkenaan yang dikenali sebagai Farah Natasya Faizal, menjelaskan, dia ada menerima pesanan WhatsApp daripada ibunya pada 2.54 petang yang memaklumkan mereka sudah hampir tiba di Plaza Tol Duta.
Difahamkan, ibu dan bapanya sedang dalam perjalanan dari Alor Setar untuk ke Kampung Baru, Kuala Lumpur bersama seorang sepupu mereka.
“Saya baru lepas mandi dan terus balas mesej. Saya dah siap nak turun ambil mereka sebab rumah kami jenis kondominium, jadi kena tunggu di bawah. Tapi apabila nampak hujan lebat, hati saya mula rasa tak sedap,” katanya.
Resah Lepas Ibu Tidak Balas Beberapa Mesej
Cerita Farah Natasya lagi, dia mula menjadi resah selepas beberapa mesej yang dihantar olehnya tidak berbalas.
Malah, dia terus menghubungi ibunya namun panggilan itu dijawab oleh sepupu yang memaklumkan ibu dan bapanya terbabit dengan kemalangan.
Sebaik sahaja mengetahui perkara itu, Farah Natasya terus bergegas ke lokasi kejadian dan melihat sendiri detik menyedihkan disaat bapanya terbaring di atas jalan manakala ibunya pula berada dalam keadan separuh sedar di dalam ambulans.
“Saya panggil mama (selepas kemalangan) dia beri maklum balas tapi tak buka mata, tak bercakap.
“Saya ikut dia ke hospital. Sampai di hospital, mama dah tak balas langsung. Gerak jari pun sikit saja,” jelasnya sebak.
Anak Tak Sanggup Tonton Video, Mahu Tuntut Keadilan Untuk Ibu Bapa
Kongsi Farah Natasya lagi, bapanya kini telah menjalani pembedahan selepas dimasukkan ke zon kuning di Hospital Sungai Buloh.
Jelasnya, sebagai anak, dia sendiri tidak sanggup menonton video rakaman dashcam itu dan mahu menuntut keadilan buat ibu bapanya.
Malah, dia mahu pemandu pikap Nissan Navara terbabit bertanggungjawab sepenuhnya atas kejadian berkenaan.
Pada masa yang sama, keluarga mangsa turut menyerahkan siasatan pihak polis dan berharap pemandu Navara berkenaan dikenakan hukuman yang setimpal.
Pemandu Navara Dipenjara 30 Hari & Didenda RM12,000
Terbaharu, pemandu Navara yang terlibat dalam kemalangan tersebut dijatuhkan hukuman penjara 30 hari dan denda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.
Tertuduh yang dikenali sebagai K Darmaju mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.
Mahkamah telah memerintahkan hukuman tersebut bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 11 Mei lalu.
Sebelum ini, tertuduh tiba di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur kira-kira jam 8.30 bagi pendakwaan.
Difahamkan, pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Terdahulu, media melaporakan sepasang suami isteri parah selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah Nissan Navara.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa, siasatan awal mendapati motosikal jenis Benelli TRK 502 yang ditunggang mangsa sedang bergerak ke lorong kiri sebelum dirempuh kenderaan pikap tersebut.
“Kenderaan pacuan empat roda itu dipercayai cuba memotong sebuah lagi motosikal namun gagal mengelak lalu melanggar motosikal mangsa. Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan,” jelasnya.
Pemandu yang berusia 32 tahun itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah membuat laporan polis pada hari yang sama.
Baca Artikel Berkaitan: Pemandu Bezza Sengaja Langgar Penunggang Motosikal Sudah Ditahan, Ada 4 Rekod Jenayah
Baca Artikel Berkaitan: Tular Penunggang Motosikal Berhenti Tepi Jalan ‘Melambung’ Dirempuh Kereta [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Penunggang Motosikal Dirempuh Kereta Langgar Lampu Isyarat Merah Di Kajang [Video]
Source:

![Ramai Selebriti Kecam Pempengaruh Lepas Selamba Sindir Jurusan Komunikasi & Teater ‘Bod*h’ [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/entertainment.jpeg)


