
SELEPAS melalui pelbagai perkara yang menguji dirinya, pelakon Ruhainies memilih untuk tidak terus terperangkap dengan apa yang telah berlaku.
Bagi pemilik nama sebenar Nur Ruhainies Farehah binti Zainul Ilyas itu, setiap perkara yang berlaku dalam kehidupan pasti mempunyai hikmah tersendiri, termasuk kontroversi yang pernah mengheret namanya sebelum ini.
Ruhainies ditemui SinarPlus ketika menghadiri Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026 bagi menyaksikan koleksi Maglifestyle baru-baru ini.
Dalam pertemuan itu, pelakon berkenaan tidak menafikan masih ada rasa ralat dan kecewa apabila sesuatu perkara yang berlaku memberi kesan kepada reputasi yang selama ini cuba dijaganya.
“Saya memang rasa ralat dan kecewa sebab sebelum insiden sebelum ini, saya sentiasa jaga nama selama ini dan tidak buat benda-benda yang boleh merosakkan atau menjatuhkan reputasi. Orang pun tahu saya dalam industri macam mana selama ini.
“Tapi kerana satu benda diaibkan, terus jadi begini. Namun, saya percaya ada hikmah. ALLAH uji sebab Dia sayang,” katanya.

Biarpun pernah melalui fasa sukar, Ruhainies memilih untuk melihat ke hadapan dan berharap perkara-perkara yang pernah tertangguh dalam hidup serta kerjayanya dapat diteruskan semula.
Menurutnya, dia sentiasa berharap segala perancangan yang tergendala sebelum ini dapat direalisasikan dan perjalanan hidupnya kembali berjalan seperti biasa.
“Semoga cerita-cerita saya yang mungkin 'tergendala' sedikit sebab ujian-ujian yang lalu akan dapat diteruskan tahun ini dan ke depan, insya-ALLAH.
“Pada masa sama, bersempena hari lahir baru-baru ini, saya doakan semoga ALLAH lindungi kita semua daripada dibuka aib atau perkara yang tidak diingini berlaku dalam kehidupan masing-masing,” ujarnya.
Tak pasti ada yang menjauh
Dalam pada itu, Ruhainies turut ditanya mengenai dakwaan ada rakan artis yang mula menjauhkan diri selepas kontroversi yang pernah berlaku.
Namun, pelakon itu mengakui tidak mengetahui apa yang berlaku di belakangnya dan tidak mahu terlalu memikirkan perkara tersebut.
Bagi Ruhainies, kebanyakan rakan dalam industri cukup matang serta profesional untuk berdepan dengan pelbagai situasi, lebih-lebih lagi mereka masih berkemungkinan bertemu dalam urusan kerja.
“Kalau ada yang menjauh, saya tidak pasti. Bagi saya, artis dalam industri kita sangat matang dan profesional.
“Mereka tahu benda yang berkaitan dengan mereka, jadi mereka tidak ambil tahu. Itu perkara yang baik sebab kita dalam industri yang sama, tetap akan berjumpa.
“Kalau jumpa depan-depan, semuanya okay sahaja. Tapi kalau di belakang saya, saya tidak tahu,” katanya.
Tegasnya, dia sendiri tidak mempunyai masalah dengan mana-mana individu dan menyerahkan perkara itu kepada hak masing-masing.
“Saya sendiri tiada masalah dengan sesiapa. Semua terpulang kepada individu itu sendiri,” katanya.

Doa bertemu jodoh yang baik
Beralih kepada soal peribadi, Ruhainies juga tidak menolak sekiranya tiba masanya untuk membuka hati kepada insan baharu.
Malah, pelakon itu secara terbuka menitipkan doa agar dipertemukan dengan pasangan yang baik selepas melalui pelbagai fasa dalam kehidupan.
“Saya doakan semoga saya dapat jodoh yang baik-baik sebab sudah tidak muda lagi,” katanya sambil berseloroh.
Apa yang penting kata adik kepada pelakon Risteena itu lagi, dia mahu terus melangkah ke hadapan dan mengambil setiap perkara yang berlaku sebagai pengalaman untuk menjadi lebih matang.
"Hidup mempunyai pilihan masing-masing dan seseorang boleh memilih untuk menjadi lebih baik tanpa perlu terlalu memikirkan pandangan orang terhadap dirinya.
“Benda senang sahaja. Nak jadi baik pun senang, nak jadi jahat pun senang. Itu pilih mana awak nak.
“Soal baru-baru ini nama terkait kontroversi tentang tajaan makanan, bagi saya, benda sebegitu tidak baiklah. Tak perlu nak gunakan cara 'marketing' sedemikian,” tegasnya lagi.

Pada masa sama, dia mahu memberi ruang kepada dirinya untuk terus bergerak, memperbaiki apa yang perlu dan membuka lembaran baharu, baik dalam kerjaya mahupun kehidupan peribadi.
Apa yang pasti, segala yang pernah berlaku tidak mahu dijadikan penghalang untuknya terus melangkah.

