Pelakon Lorenzo Irmann mendedahkan dia pernah merancang untuk mendirikan rumah tangga bersama wanita yang dicintainya, namun impian itu tidak kesampaian apabila mereka sepakat menamatkan hubungan demi memberi fokus kepada kerjaya masing-masing.
Lorenzo atau nama penuhnya Lorenzo Irmann Farhan Caddeo Paolo, 22, berkata hubungan mereka ketika itu sudah berada pada fasa serius, namun kedua-duanya bersetuju membawa haluan sendiri tanpa sebarang perselisihan.
View this post on Instagram
“Memang pernah merancang untuk berkahwin. Bagi saya, merancang itu penting, tetapi apabila ia tidak menjadi kenyataan, saya membuat keputusan untuk memberi fokus kepada kerjaya.”
“Tiada siapa meninggalkan sesiapa. Itu keputusan bersama. Kami sepakat untuk membawa haluan sendiri dan memberi tumpuan kepada kerja,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana drama Cinta Dalam Sekam dan What’s Next On Viu di Odeon Kuala Lumpur, semalam.
Menurut Lorenzo, keputusan tersebut turut dipengaruhi faktor usianya yang masih muda selain mahu membina kerjaya lakonan sebelum memikirkan soal perkahwinan.
“Ketika itu kami terlalu mengutamakan cinta. Namun apabila saya memikirkan semula mengenai masa depan, saya rasa masih terlalu awal kerana ketika itu saya baru berusia 22 tahun.”
“Nama saya juga baru hendak meningkat. Selepas tamat pengajian, saya terus bekerja. Jadi, saya fikir lebih baik memberi fokus kepada kerjaya terlebih dahulu daripada berkahwin,” katanya.
Pelakon drama Bidadari Tanpa Syurga itu berkata, buat masa ini dia tidak lagi terlalu memikirkan soal jodoh kerana mahu memberi sepenuh perhatian terhadap perjalanan kerjayanya dalam industri seni.
“Sekarang saya fokus kepada kerja sahaja. Pernah mencari jodoh sebelum ini, tetapi tidak menjadi.” ujarnya lagi.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

"Dok Persoal Kenapa Nama Saya Ada Dayang, Awang" - Bella Astillah Hairan Sikap Ingin Tahu Melampau 'Haters' Di Media Sosial
The post “Saya Rasa Terlalu Muda, Nama Pun Baru Nak Naik” – Pelakon Lelaki Batal Perkahwinan Dengan Kekasih, Fokus Kerjaya first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.






