'Saya setuju RUU, tidak hadir undi sebab tidak sihat' - MP Libaran

LocalPolitics
3 Mar 2026 • 2:32 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kegagalan RUU pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri pada Isnin pastinya memberi tamparan besar kepada keutuhan Kerajaan Perpaduan. - Gambar kecil (Suhaimi)

SHAH ALAM - Seorang ahli Parlimen penyokong Kerajaan Perpaduan yang tidak hadir dalam sesi undi belah bahagian bagi meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri pada Isnin, menafikan beliau tidak menyokong usul berkenaan.

Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir dari Barisan Nasional (BN) sebaliknya menegaskan beliau konsisten menyokong usul RUU yang dibawa kerajaan selama ini.

Jelasnya, ketidakhadirannya pada sesi undi belah bahagian yang diadakan pada sebelah petang sesi Dewan Rakyat adalah disebabkan beliau tidak sihat dan terpaksa pulang ke rumah pada jam 1.30 petang untuk mendapatkan rawatan doktor.

“Saya setuju RUU itu, cuma saya tidak dapat ikut (hadir) mengundi disebabkan tidak sihat pada semalam (Isnin). Hari ini (Selasa) saya juga masih tidak sihat dan disarankan doktor untuk terus berehat di rumah.

“Sebenarnya saya sudah menghadiri sesi Parlimen pada sebelah pagi kerana soalan saya bernombor 11 telah dimasukkan dalam agenda soalan lisan untuk dibahas.

“Bagaimanapun, saya tiba-tiba rasa pening kepala dan mual sejurus sebelum perbahasan berlangsung. Pada jam 1.30 petang, saya membuat keputusan untuk balik ke rumah berehat dan dirawat oleh doktor disebabkan tekanan darah saya meningkat,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng yang mendedahkan bahawa lapan ahli Parlimen daripada blok kerajaan tidak hadir semasa sesi undi belah bahagian bagi meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 untuk mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri.

Kesannya, RUU tersebut gagal diluluskan Dewan Rakyat apabila kekurangan dua undi daripada majoriti dua pertiga yang diperlukan iaitu 148 ahli Parlimen.

Ini kerana keputusan undi belah bahagian menunjukkan hanya 146 yang menyokong, 44 tidak mengundi manakala 32 tidak hadir.

Selain Suhaimi, antara ahli Parlimen kerajaan yang tidak hadir termasuk bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Sembrong); Timbalan Presiden MIC, M Saravanan (Tapah); dan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan (Keningau).

Tiga lagi ahli Parlimen kerajaan lain yang terlibat ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Larry Sng (Julau); Datuk Henry Sum Agong (Lawas); dan Riduan Rubin (Tenom).

Berikutan itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, menyatakan kekecewaan DAP terhadap keputusan tersebut dan meminta masyarakat mengecam serta mempersoalkan ahli-ahli Parlimen yang tidak hadir dan tidak menyokong pindaan itu.

Sebelum ini, Syed Abu Hussin dan Larry Sng mengesahkan mereka tidak hadir pada pengundian RUU berkenaan atas dua alasan berbeza.

Syed Abu Hussin berkata, beliau tidak menyertai pengundian kerana tidak bersetuju dengan pindaan yang dicadangkan itu dan mahu melihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri lebih lama jika beliau mampu.

Larry yang juga Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) pula senada dengan Suhaimi dengan mendakwa beliau menyokong RUU berkenaan.

“Saya sokong RUU itu. Saya tidak hadir kerana saya dalam perjalanan pulang ke Parlimen daripada urusan awal tetapi terperangkap dalam kesesakan lalu lintas,” ujarnya.

Kegagalan meluluskan RUU itu sekali gus memberi petanda tidak menentu terhadap satu lagi RUU pindaan penting pada Selasa iaitu berkaitan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang turut memerlukan sokongan majoriti dua pertiga ahli Parlimen.

Kegagalan meluluskan RUU itu sekali gus memberi petanda tidak menentu kepada satu lagi RUU pindaan penting pada Selasa iaitu berkaitan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang turut memerlukan sokongan majoriti dua pertiga ahli Parlimen.