
Komen Kenny Roberts mengenai Marc Marquez dan Ducati mungkin kedengaran pelik pada permukaan, tetapi sebenarnya ia membawa satu persoalan besar, adakah Ducati benar-benar membina jentera terbaik untuk Marc atau Marc yang terlalu hebat sehingga mampu menyesuaikan diri dengan apa jua jentera?
Bagi legenda Amerika itu, Marc kekal sebagai pelumba paling menarik kerana sifat agresifnya. Namun, King Kenny melihat sesuatu yang mungkin tidak jelas pada statistik dan kemenangan. Menurutnya, Marc masih belum kelihatan benar-benar selesa dengan Ducati seperti ketika berada di puncak prestasi bersama Honda dahulu.
Ini bukan bermaksud Ducati lemah. Sebaliknya, inilah kritikan paling tajam daripada King Kenny dimana motosikal terbaik di dunia tidak semestinya motosikal yang dibina mengikut keperluan pelumba terbaik.
Marc mempunyai gaya tunggangan yang unik. Dia agresif ketika membrek, ekstrem ketika memasuki selekoh dan mempunyai kemampuan luar biasa mengawal jentera di hadapan atau ketika hampir hilang cengkaman. Jika Ducati dibangunkan untuk menjadi jentera yang boleh dipandu ramai pelumba, King Kenny percaya pendekatan itu mungkin tidak cukup untuk seorang juara seperti Marc.
“Bina motosikal untuk semua orang atau untuk dia? Sudah tentu untuk dia.”
Itulah intipati sebenar komen Kenny Roberts. Seorang juara luar biasa tidak sepatutnya hanya menyesuaikan diri dengan motosikal. Pada tahap tertentu, motosikal juga perlu berubah mengikut pelumba.
Ducati mungkin sudah memberikan Marc jentera untuk menang. Tetapi jika King Kenny betul, bayangkan apa yang akan berlaku apabila Desmosedici benar-benar dibina mengikut DNA tunggangan Marc. Ketika itu, dominasi Marc mungkin bukan sekadar kembali, ia boleh menjadi lebih menakutkan.
Teruskan bersama Two Wheels..!
The post “Saya Suka Marc, Tapi Ducati Itu Nampaknya Bukan Dibuat Untuk Dia” – Kenny Roberts appeared first on TW Media.



