
KUALA LUMPUR – Meskipun bakal menghadapi Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) minggu hadapan, namun beberapa remaja berusia 17 tahun dilihat tetap memilih untuk keluar melepak bersama rakan dan berkumpul di sekitar ibu negara sehingga awal pagi.
Tinjauan Kosmo! dalam operasi samseng jalanan yang dijalankan di Jalan Ampang, di sini, awal pagi tadi, mendapati golongan remaja berusia bawah 18 tahun kini seakan-akan mempunyai ‘lesen’ daripada keluarga untuk melakukan aktiviti sedemikian.
Seorang remaja perempuan yang berasal dari Pantai Dalam mengakui, dia keluar rumah sekitar pukul 2 pagi kerana kelaparan.
Malah, pelajar tersebut sanggup menunggang motosikal didakwa milik rakannya tanpa memiliki lesen memandu.
“Saya tahu saya SPM bulan ini, tapi hari ini saja keluar nak pergi makan dengan kawan-kawan di Kampung Baru. Lagipun, keluarga tahu saya keluar,” katanya ketika ditemui, di sini.
Ketika ditanya mengenai persediaannya menghadapi SPM, remaja berkenaan mengakui berdebar, namun tidak terlalu memikirkannya buat masa ini.
Sementara itu, seorang lagi remaja perempuan mendedahkan bahawa dia tidak mempunyai lesen memandu yang sah dan sudah beberapa kali keluar lewat malam.
Malah, katanya, dia juga hanya memaklumkan kepada ibu bapanya untuk keluar bersiar di kawasan berdekatan dengan rumah.
“Saya hanya beritahu nak pergi lepak dengan kawan. Ini pun saya nak balik dah sebenarnya. Saya tahu SPM minggu depan. Mula-mula saya tak nak pergi, tetapi kawan pujuk untuk keluar juga,” ujarnya.
Dalam operasi bermula kira-kira pukul 3 pagi itu, seramai 800 penunggang motosikal diperiksa dengan 300 saman dikeluarkan selain 60 motosikal disita atas pelbagai kesalahan.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Superintendan Suffian Abdullah berkata, antara kesalahan tertinggi dikesan ialah menunggang motosikal tanpa lesen memandu sah melibatkan golongan muda berusia antara 16 hingga 30.
Menurutnya, terdapat penunggang yang mengambil mudah risiko perbuatan itu meskipun sudah diberikan nasihat oleh ibu bapa atau penjaga.
“Daripada pemerhatian kita, mereka bukannya tidak tahu, tetapi mereka mengambil mudah perkara yang boleh mengancam nyawa sendiri serta membahayakan pengguna jalan raya lain.
“Kita berharap ibu bapa dan penjaga memainkan peranan dengan memberikan nasihat serta memantau pergerakan anak masing-masing supaya tidak terlibat dalam aktiviti yang membahayakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Saya tahu saya SPM minggu depan…’ appeared first on Kosmo Online.





