
KUALA LUMPUR – Sebanyak 945 saman dikeluarkan, manakala 111 motosikal disita dalam Op Motosikal Bersepadu di Jalan Ampang, di sini, awal pagi tadi.
Operasi yang dijalankan dari pukul 3 pagi hingga 7 pagi itu dilaksanakan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Timbalan Ketua JSPT Kuala Lumpur, Superintendan Suffian Abdullah berkata, sebanyak 1,635 motosikal diperiksa sepanjang operasi berkenaan.
“Operasi ini melibatkan penunggang motosikal berusia lingkungan 15 hingga 25 tahun. Selain itu, satu tangkapan direkodkan manakala JPJ mengeluarkan 387 notis pelbagai hasil pemeriksaan yang dijalankan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, dalam operasi sama, seramai 14 individu menjalani ujian saringan air kencing oleh AADK dan kesemua mereka didapati negatif dadah.
Katanya, satu tangkapan direkodkan mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala 111 motosikal disita mengikut Seksyen 60 akta sama. – KOSMO! ONLINE
The post Op Motosikal Bersepadu: 945 saman, 111 motosikal disita appeared first on Kosmo Online.






