
PUTERA Sultan Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah iaitu Pengiran Muda Abdul Wakeel menyambut ulang tahun ke-20 pada 1 Jun lalu.
Biarpun semakin meningkat dewasa, Putera Abdul Wakeel tidak pernah terlepas daripada perhatian bonda tersayang, bekas personaliti TV, Azrinaz Mazhar Hakim yang menitipkan ucapan penuh emosi yang menyentuh hati ramai.
Menerusi perkongsian di Instagram, Azrinaz mengimbau detik pertama mendakap puteranya dua dekad lalu, saat yang sehingga kini masih terpahat kemas dalam ingatan.
"Anakku Wakeel, 20 tahun lalu saya masih ingat baumu, senyumanmu, tangisanmu dan perasaan apabila tangan kecil itu menggenggam jari saya," tulisnya.
Dalam nukilan tersebut, bekas wartawan penyiaran itu mengakui Putera Abdul Wakeel kini membesar sebagai seorang lelaki muda yang dikelilingi pelbagai peluang, keselesaan dan nikmat kehidupan.

Namun, apa yang paling mencuri perhatian ialah ketulusan Azrinaz menyentuh tentang perkara-perkara yang tidak mampu diberikan kepada puteranya.
"Hari ini kamu ialah seorang anak muda. Seorang putera di duniamu sendiri, dikelilingi oleh peluang, keselesaan dan semua nikmat yang boleh ditawarkan oleh kehidupan.
"Saya tidak mampu memberikanmu sebuah kerajaan.
"Saya tidak mampu memberikanmu tahun-tahun yang telah kita persia-siakan.
"Saya tidak mampu memberikanmu kekuasaan dan segala kemewahan yang ditawarkan oleh dunia ini," kongsinya.
Bagaimanapun, Azrinaz menegaskan ada satu perkara yang tidak pernah berhenti diberikan kepada anakandanya walau apa pun yang berlaku dalam kehidupan mereka.
"Tetapi satu perkara yang tidak pernah berhenti saya berikan ialah kasih sayang seorang ibu.
"Kasih yang senyap, tidak terlihat namun sentiasa mengiringi setiap tahun dalam hidupmu," luahnya.

Lebih menyentuh hati apabila Azrinaz mengakui Putera Abdul Wakeel membesar dengan segala yang mampu dibeli dengan wang ringgit, sedangkan beliau pula hidup dengan satu perkara yang tidak mampu diganti oleh apa jua nilai material.
"Awak membesar dengan segala yang boleh dibeli oleh wang, sementara saya hidup dengan satu perkara yang wang tidak pernah mampu gantikan," titipnya.
Menutup coretan tersebut, Azrinaz mengucapkan selamat ulang tahun kelahiran kepada anak lelaki tunggalnya sambil menyifatkan dirinya sebagai insan yang tidak pernah berhenti mendoakan kebahagiaan Putera Abdul Abdul Wakeel.
"Selamat hari lahir yang ke-20 anak lelakiku. Daripada seseorang yang tidak pernah berhenti berharap, menunggu, memerhati dan berdoa," kongsinya.
Hantaran tersebut meraih perhatian warga maya yang rata-rata tersentuh dengan keikhlasan seorang ibu yang terus menyayangi anaknya tanpa syarat, meskipun diuji dengan perpisahan dan kehilangan dalam tempoh masa masa yang tidak mungkin dapat diputar kembali.
Sekadar info, Azrinaz pernah menjadi isteri kepada Sultan Hassanal Bolkiah dan telah berkahwin pada 20 Ogos 2005.
Mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Pengiran Muda Abdul Wakeel dan Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah, 18.
Azrinaz berkahwin kali kedua dengan bekas rakan sekerja, Firoz Khan Abdul Hamid pada 1 Mei 2018.
Perkahwinan mereka diserikan dengan dua anak perempuan iaitu Areesya Malaykha dan Atheera Medinah yang kini berusia tujuh dan lima tahun.
Sumber: Instagram
