
Susulan isu tidak menyanyikan lagu Astana di pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik 38 (SFMM38), penyanyi Ernie Zakri tampil memperbetulkan kenyataan bercanggah tentang perkara itu.
Menafikan kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat rakaman Rocketfuel Entertainment sebelum ini, Ernie atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 31, berkata dia sama sekali tidak pernah mengatakan tidak mahu menyanyikan lagu tersebut.
Ernie juga menafikan dakwaan dia sengaja tidak mahu menyanyikan lagu Astana.
"Saya adalah penyanyi asal dan komposer lagu ini. Sudah tentu saya nak menyanyikan lagu ini. Malah, tidak pernah cakap saya tak nak nyanyi atau tarik diri.”
"Namun, disebabkan terdapat beberapa terma perbincangan yang belum selesai antara pihak RIM dan MPB, ia menjadi penghalang untuk saya mempersembahkan lagu ini pada Separuh Akhir Muzik Muzik 38," katanya.
Sementara itu, Universal Music Malaysia berkata, Ernie selaku artis yang kini di bawah naungan Universal Music Malaysia, cakna mengenai kenyataan RIM dan MPA mengenai terma dan syarat pencalonan lagu dalam Muzik-Muzik yang masih dalam perundingan.
"Ernie Zakri menyatakan bahawa beliau sentiasa mematuhi prosedur label antarabangsa Universal Music Malaysia serta menghormati pendirian kedua-dua persatuan iaitu RIM dan MPA yang mewakili syarikat rakaman tempatan dan antarabangsa serta pemegang hak rakaman bunyi/video dan karya di Malaysia," katanya.
Universal Music Malaysia juga menjelaskan Ernie tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan pencalonan dan penyertaan lagu Astana sepertimana yang dilaporkan dalam beberapa media.


