KOTA BHARU – Kerajaan Negeri Kelantan menegaskan bahawa pencapaian 84 peratus manifesto Pilihan Raya Negeri ke-15 adalah fakta dan bukan rekaan seperti didakwa sesetengah pihak.
Menurut Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri Kelantan, Mohd Asri Mat Daud berkata, dakwaan bahawa kerajaan negeri itu menipu berhubung angka peratusan adalah tidak benar.
“Saya tak tipu pasal pencapaian manifesto, saya bercakap berdasarkan fakta.
“Kenyataan saya sebelum ini pun dibuat pada bulan puasa, tipu apa bulan-bulan puasa,” katanya sambil menekankan bahawa angka tersebut diperoleh hasil kajian dan pemantauan rasmi Unit Pemantauan dan Pelaksanaan Strategik (SPARK), Pejabat Menteri Besar Kelantan.
Sebelum ini, Kerajaan Kelantan di bawah pentadbiran Pas itu mengumumkan pencapaian lebih 84 peratus pelaksanaan manifesto terbabit berlaku dalam tempoh tidak sampai tiga tahun iaitu lebih cepat dari kebiasaan.
Mohd Asri yang juga Ketua Penerangan Pas Kelantan, menjelaskan bahawa pencapaian 84 peratus itu direkodkan dalam tempoh separuh penggal pertama pentadbiran bermula September 2023 hingga Januari lalu walaupun manifesto dirangka untuk tempoh lima tahun sehingga 2028.
“Beberapa program penting, termasuk pembangunan pendidikan dan kemahiran, produktiviti pertanian serta pembangunan wanita menunjukkan kadar pelaksanaan yang tinggi manakala sebahagian program lain masih dalam fasa pelaksanaan aktif,” ujarnya.
Asri menekankan bahawa baki program pula sedang giat dilaksanakan dan hanya sebahagian kecil belum dimulakan.
Beliau berkata, pengumuman pencapaian ini bukan sekadar untuk menunjuk prestasi kerajaan, tetapi juga sebagai peringatan agar semua portfolio mempercepatkan pelaksanaan janji manifesto.
“Dalam Pas kalau berjanji mesti ditunaikan.
“Jika belum terlaksana, maka akan dipantau dan dipastikan dapat dicapai,” katanya.
Mohd Asri turut menyeru agar masyarakat bersangka baik dan menilai fakta sebelum membuat andaian.
“Walaupun politik berbeza, jangan terus menghukumx dengar dahulu hujah, lihat fakta, baru buat penilaian,” katanya.
Tambah beliau lagi, Kerajaan Negeri Kelantan juga yakin dengan komitmen berterusan dan pengawasan rapi, sasaran keseluruhan manifesto akan dapat dilaksanakan sepenuhnya menjelang penghujung penggal pada 2028.



