
Kota Kinabalu: Isteri bekas Pengarah Jabatan Air Sabah Ag Mohd Tahir Mohd Talib iaitu Fauziah Piut (gambar) memberitahu Mahkamah Khas Rasuah pada Jumaat bahawa dia tidak melakukan sebarang kesalahan selain menerima wang dan hadiah daripada suaminya, sambil menegaskan dia sentiasa percaya bahawa wang tersebut datang daripada sumber yang sah.
Membacakan kenyataan tidak bersumpah bertulis dari kandang tertuduh di hadapan Hakim Abu Bakar Manat, Fauziah berkata dia menganggap adalah tidak sopan untuk bertanya kepada suaminya mengenai jumlah atau sumber wang yang diberi.
Katanya mereka berkahwin pada 1987, mempunyai tiga anak dan dia pernah bekerja sebagai setiausaha di Ko-Nelayan sehingga 2013 sebelum menjadi suri rumah sepenuh masa, menerima sokongan kewangan daripada suaminya yang mampu menanggung keluarga.
“Sebagai seorang isteri, saya hanya menerima wang yang diberi oleh suami saya tanpa bertanya berapa jumlahnya kerana saya sentiasa rasa ia mencukupi,” katanya.
“Saya tidak pernah meragui wang itu kerana saya percaya ia datang daripada pendapatan yang halal,” katanya lagi.
Fauziah berkata suaminya memulakan kerjaya di Jabatan Kerja Raya pada tahun 1985 sebelum berpindah ke Jabatan Air Sabah pada 1990an.
Dia kemudian mula berminat dalam perniagaan dengan menceburi projek pembinaan dan kejuruteraan.
Antara usahanya termasuk kerjasama dengan Haris, seorang kawan sekampung dan saudara jauh serta Michael Wong, sahabat lama dan kemudian dengan adiknya sendiri, Fauzi.
Menurutnya, hasil perniagaan itu agak memberangsangkan.
Katanya, Haris kerap dilihat ketika dia masih menjalankan perniagaan bersama suaminya khususnya apabila mereka pulang ke kampung, namun hubungan itu akhirnya terputus.
“Selepas itu saya tidak pernah melihat Haris lagi, terutamanya kerana kami jarang pulang ke kampung,” katanya.
Dia mengimbas pernah bertemu Michael Wong beberapa kali di majlis seperti majlis kahwin dan Wong kekal berurusan dalam perniagaan dengan suaminya dari 199an hingga sekitar tahun 2015.
Bagi Fauzi pula, sebagai adik iparnya, ia lebih mudah untuk berjumpa dengannya sama ada di kampung ketika lawatan mereka yang kerap suatu ketika dahulu, ataupun di perjumpaan keluarga dan sambutan perayaan, katanya.
Mengenai pertuduhan berhubung beg tangan berjenama, Fauziah berkata ada yang dibeli menggunakan wang yang diberikan suaminya, ada yang merupakan hadiah hari lahir atau ulang tahun, manakala selebihnya hadiah daripada rakan niaga suaminya.
Katanya dia tidak ingat dengan tepat mana yang dibeli dan mana yang diterima sebagai hadiah.
Berkaitan siri akaun bank yang disebut dalam pertuduhan kedua hingga kelapan, katanya, semua deposit, antara RM43,000 hingga RM216,801.04, adalah daripada pendapatan suaminya sejak 1985.
Katanya, wang terbabit kadang-kadang dipindahkan antara akaun atas nasihat pegawai bank bagi mendapatkan pulangan yang lebih baik.
Akaun lamanya di Bank Islam pula mengandungi gajinya, caruman KWSP melebihi RM170,000 serta sokongan kewangan suaminya selama bertahun-tahun, menyebabkan sukar untuk membezakan sumber wang terbabit.
Oleh kerana dana itu bercampur selama bertahun-tahun, katanya, dia tidak lagi dapat mengenal pasti secara tepat sumber bagi setiap deposit. Ia termasuk jumlah yang disenaraikan dalam pertuduhan kesembilan hingga ke-13 serta pertuduhan ke-16 dan ke-19.
Bagi akaun lain yang disebut dalam pertuduhan ke-14, ke-15, ke-17 dan ke-18, Fauziah memberi penjelasan sama bahawa dana berkenaan semuanya daripada pendapatan dan perniagaan suaminya sejak 1985 dan ada masanya dipindahkan antara akaun atas nasihat pihak bank.
Mengenai pertuduhan bersama memiliki barang kemas dengan suaminya dalam dua pertuduhan tambahan, Fauziah berkata ada barang yang dibeli menggunakan gajinya sendiri, ada yang diberikan sebagai hadiah oleh suaminya manakala beberapa lagi adalah pusaka daripada ibu bapa, mentua serta arwah datuk dan neneknya.
Dia memberitahu mahkamah bahawa dia bersedia mengenal pasti barang mana yang merupakan pusaka, mana yang dibelinya sendiri, dan mana yang merupakan hadiah daripada suaminya jika diberi peluang.
Fauziah turut menceritakan tentang penahanannya pada 28 Dis 2016 dan penahanan sehingga 26 Jan 2017, dengan berkata dia mengalami kesakitan dan kesedihan teruk akibat publisiti meluas berhubung kes itu sepanjang sembilan tahun lalu.
Katanya dia rasa malu dan disisihkan oleh saudara-mara serta rakan-rakan.
“Saya tidak pernah melakukan sebarang jenayah selain menerima wang dan hadiah daripada suami saya,” katanya.
“Sebagai seorang wanita Islam Brunei adalah menjadi adat dan kepercayaan kami bahawa suami ialah ketua keluarga dan apa sahaja yang diberikannya diterima dengan ikhlas tanpa soal,” kata Fauziah sambil menangis ketika membaca kenyataan itu dan dilihat mengesat matanya.
“Tidak pernah terlintas di fikiran saya bahawa semua itu datang daripada sumber yang tidak sah. Bagi saya, semuanya berasal daripada gajinya atau pendapatan perniagaan yang sah,” tambahnya.
Yang sedang dibicarakan ialah Ag Mohd Tahir, 63, isterinya Fauziah, 59, serta bekas Timbalan Pengarah Jabatan Air Negeri, Lim Lam Beng, 70, yang menghadapi pelbagai pertuduhan pengubahan wang haram.
Ag Mohd Tahir dan isterinya, Fauziah Piut, sebagai tertuduh pertama dan kedua, berdepan 33 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang tunai dan simpanan bank berjumlah RM61.57 juta serta pemilikan barangan mewah secara tidak sah.
Ag Mohd Tahir menghadapi 11 pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUA) 2001 dan satu pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta sama.
Fauziah pula menghadapi 19 pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta sama.
Kedua-dua Ag Mohd Tahir dan Fauziah turut berdepan dua pertuduhan bersama di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta sama.
Kesalahan terhadap Ag Mohd Tahir dan Fauziah itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi berasingan antaranya di sebuah pejabat di Kota Kinabalu, sebuah rumah di Sembulan serta beberapa cawangan bank, antara 4 Okt dan 4 Nov 2016.
Lim pula berdepan empat pertuduhan memiliki sebuah kenderaan Toyota Land Cruiser, wang tunai RM200,000, RM1,900,000 dan RM280,000 daripada hasil aktiviti haram seperti yang didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta sama.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 13 Okt, 22 Okt, 7 Nov dan 8 Nov 2016 di sini.
Ag Mohd Tahir dan Fauziah diwakili peguam Datuk Ansari Abdullah manakala peguam Datuk Tan Hock Chuan dan Baldev Singh mewakili Lim.
Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat, Haresh Prakash Somiah dan Zander Lim tampil untuk pendakwaan.
Perbicaraan akan bersambung pada 22 Okt.


