MELAKA - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee yang lebih dikenali sebagai YB ‘tembak babi’ teruja untuk kembali berkhidmat selepas sekali lagi diberi kepercayaan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini.
Ini merupakan kali ketiga beliau bertanding dalam pilihan raya selepas pertama kali mewakili DAP dan dipilih sebagai ADUN Pengkalan Batu sebelum dilantik sebagai Exco kerajaan negeri.
Pada PRN lalu, beliau bertanding atas tiket Bebas, manakala kali ini mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Norhizam, 60, yang juga Naib Ketua Bahagian Bersatu Hang Tuah Jaya berkata, beliau berterima kasih kepada Badan Pimpinan Bersatu di peringkat pusat dan negeri kerana mencalonkannya bagi kerusi N15 Pengkalan Batu.
**media[3694084]**
Beliau berjanji tidak akan menghampakan rakyat, khususnya penduduk di kawasan berkenaan, selain memberi perhatian kepada aspek pembangunan setempat termasuk sistem perparitan, jalan raya dan pendidikan.
“Sejak saya tinggalkan kawasan ini, saya tengok itu sahaja yang ada. Sekembalinya saya di N15 Pengkalan Batu, saya akan pastikan masalah setempat diberi perhatian.
“Saya tengok di sana, longkang dan perparitan. Bila hujan sedikit sahaja, banjir, banjir dan banjir. Begitu juga isu pendidikan.
“Isu jalan raya yang kita tengok hari ini, kerajaan yang ada hanya menampal jalan sahaja. Jadi, kita tidak bersetuju. Peruntukan itu ada, kita turap seperti biasa,” katanya pada Majlis Pengumuman Calon Bersatu bagi PRN Melaka di Klebang pada Khamis.
Pada majlis itu, Naib Pengerusi Bersatu, Datuk Mohd Radzi Jidin mengumumkan lapan calon Bersatu akan bertanding PRN Melaka.
Pada masa sama, Norhizam berkata, usahawan termasuk peniaga kecil akan dibantu mendapatkan lesen serta lokasi perniagaan yang bersesuaian.
**media[3694083]**
Selain itu, katanya, kontraktor kelas F serta G1 dan G2 juga akan dibantu mendapatkan peluang kerja yang bersesuaian.
“Jadi, kita tidak faham kenapa kerajaan harus mengadakan konsesi besar yang diberikan kepada mereka, sedangkan kontraktor kecil yang lain tidak dapat mencari makan.
“Saya rasa perkara itu tidak sesuai. Kita cuba sebaik mungkin supaya konsesi sedia ada tidak diberikan kepada syarikat besar semata-mata.
“Kita mahu tender terbuka kepada kontraktor G1 dan G2 supaya mereka turut mendapat peluang secara adil,” katanya.
Beliau juga yakin mampu bersaing pada PRN kali ini berdasarkan profil serta rekod perkhidmatannya yang baik dan sudah dikenali penduduk di Pengkalan Batu.
“Insya-ALLAH. Dalam pertandingan, ada yang menang dan ada yang kalah. Namun, saya akan cuba buat yang terbaik kerana saya sudah lama, mempunyai profil atau tapak di DUN Pengkalan Batu.
“Mereka (pengundi) sangat mengenali saya. Saya ini jenis orang yang buat kerja. Boleh dikatakan ketika menjadi wakil rakyat dahulu, saya hanya tidur tiga jam sehari kerana masa saya banyak ditumpukan kepada rakyat.
“Saya tahu apabila menjadi wakil rakyat, saya dipilih oleh rakyat dan perlu berkhidmat untuk mereka,” katanya.
Tambahnya, gelaran YB ‘tembak babi’ yang diberikan kepadanya juga menggambarkan keberaniannya turun padang menyelesaikan masalah penduduk.
“Itu tugas saya. Sebab itu saya dapat gelaran tersebut dan macam-macam lagi, tapi bagi saya itu hanya sekadar gelaran. Mana ada YB yang berani pergi macam itu, pergi tembak babi.
“Wakil rakyat kena berani dan bekerja menggunakan hati untuk menyelesaikan masalah rakyat.
“Itu yang saya akan lakukan. Seperti dahulu, saya akan buat lebih baik daripada sekarang. Walaupun usia saya sudah 60 tahun, tetapi kelajuan saya masih laju lagi,” katanya.
Dijangka Norhizam akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, menentang calon Barisan Nasional (BN), Siti Aisyah Mahmood dan calon Pakatan Harapan (PH), Jason Tze-Xi Nathan.
Bersatu umum lapan calon, selain Norhizam di Pengkalan Batu tujuh yang lain ialah Nazri Ramli (Lendu), Mohd Zamri Abu Bakar (Gadek), Mejar (B) Abdullah Mahadi (Sungai Udang) dan Datin Seri Dr Asmah Samat (Pantai Kundor).
Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya Bersatu Melaka, Datuk Seri Mohammad Ali Mohamad, dinamakan sebagai calon bagi kerusi Klebang, manakala Mohd Hamnaim Mohamad akan bertanding di Ayer Keroh dan Muhammad Rabaie Ab Hamid di Bemban.






