SHAH ALAM - Program Repatriasi Migran (PRM) 2.0 di Selangor tertinggi dalam negara dengan kutipan mencecah RM42.61 juta dalam tempoh sejak Mei tahun lalu.
Pemangku Pengarah Imigresen Selangor, Mohmad Khusairi Kamarudin berkata, jumlah itu merangkumi kutipan Pas Khas sebanyak RM1.68 juta manakala kompaun berjumlah RM40.9 juta.
Menurutnya, sebanyak 83,787 permohonan diterima sepanjang tempoh berkenaan membabitkan 60,913 lelaki, wanita (20,293 orang), kanak-kanak lelaki (1,375 orang) dan kanak-kanak perempuan (1,206 orang).
"Jumlah itu menjadikan Selangor negeri yang merekodkan permohonan PRM tertinggi di negara ini.
"Antara pemohon terdiri daripada warga asing yang telah tinggal lebih masa sehingga setahun dan program ini memberi peluang kepada mereka untuk pulang ke negara asal secara sah dengan membayar kompaun," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Imigresen Selangor di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, empat pejabat imigresen utama di Selangor iaitu Shah Alam, Kelana Jaya, Pelabuhan Klang dan Kajang menerima kehadiran pemohon yang agak tinggi bagi menyertai program tersebut.
Tambahnya, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menggalakkan warga asing yang berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan sah supaya tampil memanfaatkan peluang berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Mohmad Khusairi berharap orang ramai termasuk pempengaruh media sosial tampil menyalurkan maklumat serta aduan berhubung kebanjiran warga asing kepada JIM.
"Kami (JIM) turut mempunyai pasukan yang memantau media sosial berkaitan aktiviti warga asing," ujarnya.






