Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Pelakon Indonesia Baim Wong tampil menyatakan sokongan terhadap kenyataan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mendesak tindakan lebih tegas bagi menangani masalah kebakaran hutan di Indonesia sehingga menyebabkan jerebu teruk di negara tetangga.
Menerusi hantarannya di Instagram, Baim dilihat bersetuju dengan cadangan Syed Saddiq yang mahu kerajaan Indonesia memberikan perhatian serius terhadap isu kebakaran hutan dan tanah sehingga menyebabkan jerebu tebal merentasi sempadan negara.
“Saya sokong. Negara harus tahu apa yang perlu difokuskan. Ramai yang bekerja dalam kerajaan, bahagiannya pun banyak. Tak perlu seorang sahaja fokus buat satu kerja,” tulisnya.
Bukan itu sahaja, Baim turut meluahkan kebimbangan terhadap imej Indonesia yang boleh terjejas di mata dunia sekiranya isu kebakaran hutan terus berulang tanpa penyelesaian tuntas.
Menurutnya, keadaan itu berpotensi mengurangkan kepercayaan negara lain terhadap Indonesia, selain memberi kesan kepada ekonomi yang akhirnya turut dirasai rakyat.
“Nama negara tak bagus, kepercayaan negara lain akan berkurang, kemunduran ekonomi terjadi, akhirnya rakyat lagi yang terkena tempiasnya. Semua harga naik.
“Saya yang bodoh dalam dunia politik pun boleh faham, kenapa yang pintar tak bergerak-gerak!” katanya.
Artikel berkaitan: Penduduk Palangka Raya Kongsi Keadaan Terkini, Langit Berubah Menjadi Oren
Artikel berkaitan: Baru 3 Hari Berkahwin, Syed Saddiq Kembali Ke Parlimen Dengan Isu Jerebu
Sebelum ini, Syed Saddiq meluahkan rasa kecewa ketika membangkitkan isu berkenaan dalam sidang Parlimen pada 13 Oktober lalu, terutama apabila pelajar sekolah terpaksa berdepan gangguan pembelajaran susulan penutupan sekolah akibat jerebu.
Menurutnya, masalah itu bukan perkara kecil kerana asap tebal akibat pembakaran hutan bukan sahaja menjejaskan kesihatan, malah turut mengganggu kehidupan harian rakyat Malaysia.
Dalam pada itu, Syed Saddiq mencadangkan supaya negara-negara ASEAN, khususnya Malaysia dan Singapura yang turut terjejas, menghantar nota diplomatik sebagai tanda bantahan terhadap isu jerebu berkenaan.
Beliau turut menggesa supaya pihak yang membiayai kegiatan pembakaran hutan dikenal pasti dan diambil tindakan sewajarnya.
Sumber: Instagram
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

![“Boleh Tak Tolong Kami?” – Cadangan Syed Saddiq Tentang Cara Tangani Jerebu Raih Perhatian Baim Wong & Warga Indo [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/10/jerebu-indonesia.jpg?t=1792061070)

