hamden20/08/2026 - 16:48 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Ogos - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) berjaya dalam saman sivil terhadap lima individu berhubung skim penipuan yang menyebabkan kerugian kepada empat syarikat tersenarai awam, dengan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan mereka membayar sejumlah RM103.75 juta.
Lima individu terbabit ialah Tey Por Yee, Lim Chye Guan, See Poh Yee, Francis Tan Hock Leong dan Faizatul Ikmi Abdul Razak.
Dalam kenyataan hari ini SC berkata, mahkamah mendapati Defendan melanggar, antara lain, Seksyen 179(a), 179(b), 317A dan 370 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).
Kes berkenaan membabitkan empat syarikat tersenarai awam, iaitu Nexgram Holdings Bhd, R&A Telecommunication Group Bhd, Asdion Bhd dan Ire-Tex Corporation Bhd.
SC sebelum ini memfailkan saman sivil pada 29 November 2022, mendakwa Defendan melaksanakan skim untuk menipu dan/atau menyebabkan kerugian salah berjumlah RM120.6 juta kepada keempat-empat syarikat berkenaan.
Menyalurkan Keluar Dana Syarikat
Menurut SC, antara Disember 2013 hingga Julai 2014, Tey, Lim, See dan Francis Tan, dalam kapasiti masing-masing sebagai pengarah dan pegawai empat syarikat berkenaan, telah menyalurkan keluar hasil daripada aktiviti pengumpulan dana syarikat.
Faizatul pula didakwa membantu atau memudahkan tindakan tersebut.
Perbicaraan berlangsung dari 8 Oktober 2025 hingga 29 April 2026, dengan SC memanggil 33 saksi bagi membuktikan tuntutannya.
Dalam keputusan yang disampaikan semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Indera Mohd Arief Emran Arifin mendapati terdapat bukti bahawa Defendan telah mengambil alih kawalan terhadap empat syarikat tersenarai awam itu dan mendapatkan pembiayaan melalui aktiviti pengumpulan dana sebelum hasilnya disalurkan keluar daripada syarikat.
Susulan itu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Defendan membayar RM100.6 juta kepada SC di bawah Seksyen 360 CMSA.
Selain itu, mereka turut dikenakan penalti sivil berjumlah RM2.65 juta, dengan Tey diperintah membayar RM1 juta, Lim RM600,000, manakala See, Francis Tan dan Faizatul masing-masing RM350,000.
Mahkamah turut melarang kesemua Defendan daripada menjadi pengarah, terlibat atau mengambil bahagian secara langsung atau tidak langsung dalam pengurusan mana-mana syarikat tersenarai awam untuk tempoh 10 tahun dari tarikh penghakiman.
Mereka juga diarahkan membayar kos berjumlah RM500,000 kepada SC.
Mengukuhkan Akauntabiliti Pengarah
Bagi memastikan jumlah yang diperintahkan mahkamah dapat dipelihara, Defendan turut dilarang daripada berurusan dengan aset masing-masing sehingga semua bayaran dijelaskan sepenuhnya.
Sebelum ini, SC berjaya mendapatkan injunksi daripada Mahkamah Tinggi pada 2022 bagi menghalang Tey, Lim, See dan Faizatul daripada berurusan dengan wang dalam akaun bank masing-masing sementara menunggu perbicaraan.
Rayuan oleh Tey, Lim, See dan Faizatul kemudiannya ditolak apabila Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 21 Ogos 2024.
SC berkata keputusan itu mengukuhkan akauntabiliti pengarah dan pegawai yang diamanahkan untuk mengurus syarikat tersenarai awam.
“SC kekal komited untuk memastikan salah laku yang melibatkan penyalahgunaan struktur korporat, penyelewengan hasil aktiviti pengumpulan dana serta tindakan yang menyebabkan kerugian salah kepada syarikat tersenarai tidak akan ditoleransi,” menurut SC.
Keputusan itu memberi isyarat tegas kepada pengurusan syarikat tersenarai bahawa penyalahgunaan dana korporat dan struktur pasaran modal boleh membawa implikasi kewangan serta sekatan pengurusan yang besar. - DagangNews.com




![Ebit Lew Menang Kes Saman Fitnah, Caprice Diperintah Bayar RM220,000 & Buat Permohonan Maaf [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/08/Ebit-Lew-Menang-Kes-Saman-Caprice-Diperintah-Bayar-RM220000-Buat-Permohonan-Maaf-Video.jpg?t=1786962258)
