Scanwolf raih projek pemindahan air bernilai RM16.63 juta di Rawang

23/04/2025 - 10:24
Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 23 April - Scanwolf Corporation Bhd berjaya memperoleh kontrak bernilai RM16.63 juta bagi kerja-kerja pemindahan bekalan air di Rawang, Selangor.
Scanwolf berkata, kontrak itu dianugerahkan oleh Asianmax Corporation Sdn Bhd dan melibatkan kerja pemindahan bekalan air bagi projek naik taraf Jalan Perindustrian Rawang.
Katanya, kerja-kerja dijangka siap sepenuhnya pada 31 Julai ini.
"Projek ini akan memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih syarikat.
"Setakat ini, jumlah projek berkaitan pembinaan yang diperoleh untuk tahun ini mencecah RM93.09 juta," kata Scanwolf dalam makluman di Bursa Malaysia.
Scanwolf terlibat dalam pembuatan produk plastik, lantai, pembangunan hartanah dan pembinaan.
Bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2024, syarikat mencatatkan kerugian bersih RM3.66 juta, berbanding kerugian RM3,000 pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Kerugian lebih besar itu didorong prestasi lemah dalam bahagian hartanah dan pembinaan, serta ketiadaan pendapatan sekali gus sebanyak RM2.40 juta yang diperoleh sebelum ini daripada pelepasan hutang dan penjualan tanah kosong.
Hasil suku tahunan pula meningkat 5.1% kepada RM9.50 juta berbanding RM9.04 juta sebelumnya.
Untuk separuh pertama tahun kewangan, kerugian bersih Scanwolf meningkat 24.66% kepada RM5.52 juta berbanding RM4.24 juta dalam tempoh sama tahun lepas.
Pendapatan separuh tahun meningkat 19.86% kepada RM20.10 juta berbanding RM16.77 juta.
Pada 20 Mac lalu, Scanwolf turut mengumumkan kejayaan memperoleh kontrak struktur bawah bernilai RM42 juta untuk projek pembangunan bercampur di Kuala Lumpur.
Ini diikuti kontrak bernilai RM10 juta bagi projek tenaga boleh diperbaharui di Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu pada 24 Mac 2025, serta kontrak RM8 juta untuk pembinaan galeri jualan di Kuala Lumpur pada 27 Mac 2025. - DagangNews.com
standard
