SCCCI dan Maybank bekerjasama fokus pelaburan strategik di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura

17/07/2025 - 14:26
Kerjasama SCCCI dan Maybank rancakkan pelaburan di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura. Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 17 Julai – Dewan Perniagaan dan Perusahaan Cina Singapura (SCCCI) dan Maybank Singapore Limited menjalin kerjasama untuk merancakkan pelaburan dan kerjasama perniagaan rentas sempadan, khususnya melibatkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta pasaran Asia Tenggara.
Presiden SCCCI, Kho Choon Keng berkata, pakatan strategik ini penting bagi meningkatkan daya saing perniagaan Singapura dalam menghadapi cabaran ekonomi serantau yang semakin kompleks.
“Gabungan kekuatan rangkaian perniagaan SCCCI dan keupayaan kewangan Maybank akan membantu ahli kami mengakses pembiayaan rentas sempadan.
“Kerjasama ini juga akan memperkasa kecekapan ESG dan membuka peluang pasaran baharu di Malaysia serta Asia Tenggara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Satu majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) telah diadakan di Singapura dengan disaksikan oleh Menteri Negara bagi Hal Ehwal Luar dan Perdagangan dan Industri Singapura, Gan Siow Huang.
Melalui kerjasama itu, kedua-dua pihak akan memperkukuhkan ekosistem pelaburan dengan menganjurkan pelbagai inisiatif bersama seperti forum, bengkel, lawatan tapak serta acara jaringan yang memfokuskan potensi JS-SEZ sebagai hab strategik serantau.
Maybank akan turut menyediakan pelbagai penyelesaian kewangan yang disesuaikan termasuk pembiayaan laluan hijau, pembiayaan perdagangan, pengurusan tunai dan produk berkaitan ESG.
Selain itu, proses pembukaan akaun syarikat untuk ahli SCCCI akan dipermudah melalui penyediaan khidmat sokongan khusus di bawah inisiatif Meja JS-SEZ Maybank.
SCCCI berkata kerjasama itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 5,000 ahli korporatnya, di samping membina kapasiti dalam aspek kelestarian, pensijilan halal dan perkhidmatan kewangan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Singapura, Alvin Lee Han Eng berkata, kerjasama itu mencerminkan komitmen jangka panjang Maybank dalam menyokong pertumbuhan perusahaan serantau.
“Dengan kehadiran kukuh di kesemua 10 pasaran ASEAN, Maybank berada pada kedudukan strategik untuk membantu ahli SCCCI menembusi peluang pertumbuhan serantau dan memperluas operasi mereka ke JS-SEZ,” katanya.
Kerjasama ini hadir seiring dengan usaha Malaysia dan Singapura memperkukuh integrasi ekonomi dua hala melalui pelbagai inisiatif bersama, termasuk pembangunan JS-SEZ, yang dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi hijau dan digital di rantau ini.
Menurut unjuran, Asia Tenggara bakal muncul sebagai ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030 dengan KDNK gabungan dianggarkan mencecah AS$4.5 trilion. - DagangNews.com
standard




