amree22/09/2026 - 17:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 22 Sept — Maybulk Berhad kembali memperkukuh langkah dalam sektor hartanah industri selepas anak syarikatnya membeli sebuah hartanah industri di Bandar Bukit Raja, Klang bernilai RM35.5 juta, dengan aset itu dijangka menjana sewaan berulang.
Subsidiari berkenaan, MB Integrated Logistics Sdn Bhd, memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan Cross Protection (M) Sdn Bhd pada 22 September 2026 bagi memperoleh tanah pegangan bebas berkeluasan kira-kira 8,346 meter persegi di kawasan tersebut.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, hartanah tersebut merangkumi sebuah bangunan industri setingkat, bangunan tambahan yang mempunyai ruang pejabat di tingkat bawah serta gudang di tingkat satu dan dua, selain sebuah pondok pengawal.
"Harga pembelian dipersetujui berdasarkan prinsip ‘persetujuan penjual dan pembeli’ mengambil kira lokasi dan potensi pembangunan masa depan serta disokong penilaian CBRE WTW Valuation & Advisory Sdn Bhd pada 15 September 2026," tambah Maybulk.
Kumpulan tersebut berkata, pemerolehan itu dibiayai sepenuhnya melalui dana yang dijana secara dalaman, khususnya melibatkan sebahagian hasil daripada pelupusan tanah bernilai RM278 juta di Kapar kepada WG Malaysia VII Sdn Bhd sebelum ini.

Terdahulu, kumpulan itu membeli beberapa bidang tanah pegangan bebas di Kapar bagi menceburi perniagaan hartanah industri, namun pada 19 Mac 2026 memeterai perjanjian bersyarat untuk menjual tanah tersebut selepas menerima tawaran menarik daripada pembeli.
Ujar Maybulk, tanah berkenaan dikenal pasti sebagai sebahagian daripada kawasan lebih besar yang akan digunakan bagi pembangunan infrastruktur teknologi maklumat (IT), namun kumpulan itu kekal berminat dalam sektor hartanah industri selepas pelupusan.
"Cadangan pengambilalihan ini akan membolehkan kumpulan meneruskan penglibatan dalam perniagaan hartanah industri selain mempelbagaikan aliran hasil dan mengurangkan kebergantungan kepada perniagaan teras seperti perkapalan pukal," jelasnya.
Justeru, kumpulan itu menjangkakan pengambilalihan tidak memberi kesan material kepada aset bersih, hutang, keuntungan dan pendapatan sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026, manakala pembelian dijangka dibiayai tanpa penerbitan saham baharu.
Jelas Maybulk, transaksi berkenaan, yang mempunyai nisbah peratusan tertinggi 10.66%, dijangka dapat diselesaikan pada suku keempat 2026, tertakluk kepada pemenuhan syarat dalam perjanjian jual beli. - DagangNews.com




