Glomac selesai jual tanah di Puchong pada harga RM49.18 juta

23 Sep 2026 • 10:58 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Glomac selesai jual tanah di Puchong pada harga RM49.18 juta Image from: Glomac selesai jual tanah di Puchong pada harga RM49.18 juta johardy23/09/2026 - 10:58 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Sept - Glomac Berhad menyelesaikan pelupusan sebidang tanah pajakan di Puchong bernilai RM49.18 juta, yang merupakan pelupusan pertama daripada dua cadangan pelupusan tanah bernilai keseluruhan RM97.3 juta.

 

Pemaju hartanah itu berkata anak syarikatnya, Glomac Al Batha Sdn Bhd menyelesaikan penjualan Plot 3 pada 22 September 2026 selepas semua syarat terdahulu di bawah perjanjian jual beli (SPA) dipenuhi dan baki pertimbangan pembelian diterima.

 

Plot 3 merupakan tanah kosong seluas kira-kira 13,848 meter persegi yang terletak di Pekan Desa Puchong, daerah Petaling, Selangor, menurut Glomac dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

Ia merupakan satu daripada dua lot tanah bersebelahan yang dicadangkan untuk dilupuskan oleh Glomac Al Batha menerusi dua SPA berasingan yang dimeterai pada Januari 2026, dengan jumlah pertimbangan tunai RM97.3 juta.

 

Plot kedua, Plot 4, mempunyai keluasan kira-kira 13,549 meter persegi, menjadikan keluasan keseluruhan kedua-dua tanah itu sekitar 27,397 meter persegi.

 

Kedua-dua hartanah berstatus pajakan itu mempunyai tempoh pajakan sehingga Mac 2117 dan dinilai pada jumlah RM99.97 juta oleh penilai bebas ketika cadangan pelupusan diumumkan.

 

Kurangkan pinjaman

Glomac sebelum ini berkata, pelupusan berkenaan membolehkan kumpulan merealisasikan nilai hartanah tersebut, dengan sebahagian hasil akan digunakan untuk membayar balik pinjaman sedia ada dan mengurangkan perbelanjaan faedah.

 

Kumpulan itu berkata, ia akan meneruskan proses cadangan pelupusan baki tanah mengikut terma yang dipersetujui.

 

Pelupusan itu dilaksanakan ketika prestasi kewangan Glomac menunjukkan peningkatan bagi suku pertama berakhir 31 Julai 2026.

 

Kumpulan mencatatkan keuntungan bersih RM7.6 juta berbanding kerugian bersih RM1.42 juta setahun sebelumnya, manakala hasil meningkat lebih dua kali ganda kepada RM68.5 juta daripada RM26.1 juta.

 

Segmen pembangunan hartanah kekal sebagai penyumbang utama dengan hasil RM61.1 juta bagi suku berkenaan, disokong peningkatan aktiviti pembangunan projek yang sedang dilaksanakan.

 

Setakat akhir Julai 2026, jumlah pinjaman Glomac adalah kira-kira RM224.4 juta berbanding RM237 juta pada akhir April, manakala tunai dan kesetaraan tunai berjumlah RM221.8 juta. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved