SD Guthrie berjaya hantar 8,000 tan metrik minyak sawit mampan tanpa tarif ke UK

LocalBusiness & Finance
2 May 2025 • 4:53 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

SD Guthrie berjaya hantar 8,000 tan metrik minyak sawit mampan tanpa tarif ke UK

image is not available

02/05/2025 - 16:53

Gambar/SD Guthrie Bhd Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 2 Mei - SD Guthrie Bhd mencatatkan pencapaian bersejarah apabila berjaya menghantar minyak sawit mampan bersijil Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) tanpa tarif ke United Kingdom (UK) melalui Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

SD Guthrie berkata, kilang penapisan SD Guthrie International di Liverpool menerima 8,000 tan metrik minyak sawit mampan bersijil RSPO pada 4 April 2025, selepas kapal Dolphin 19 yang mengangkut minyak berkenaan berlepas dari Pelabuhan Kunak, Sabah pada 19 Februari 2025.

"Minyak sawit tersebut juga telah menjalani ujian ketat bagi memastikan kandungan hidrokarbon minyak mineral dan hidrokarbon aromatik minyak mineral berada pada tahap rendah," katanya dalam satu kenyataan.

CPTPP adalah perjanjian perdagangan bebas yang ditandatangani pada 2018 oleh 11 negara di kawasan Pasifik, termasuk Malaysia.

Ia menghapuskan kebanyakan cukai import, menggalakkan kerjasama ekonomi dan mengekalkan perlindungan terhadap pekerja serta alam sekitar dalam kalangan negara anggota.

Dengan keahlian rasmi UK dalam CPTPP yang berkuat kuasa pada 15 Disember 2024, tarif ke atas minyak sawit mentah dan produk berkaitannya yang diimport dari Malaysia ke UK telah dihapuskan.

image is not available
Gambar/SD Guthrie Bhd

Sebelum ini, tarif berkenaan ditetapkan antara dua hingga 10%.

Pengarah Urusan Kumpulan SD Guthrie, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha berkata, penghantaran itu membuktikan hubungan dagangan Malaysia-UK yang kukuh serta komitmen syarikat dalam memastikan kualiti dan keselamatan bekalan minyak sawit mampan untuk pelanggan di UK.

Selama lebih 10 tahun, kilang penapisan Liverpool SD Guthrie telah menjadi pintu masuk bagi minyak sawit mampan ke pasaran UK, membekalkan kira-kira 50 hingga 55 peratus daripada permintaan domestik minyak sawit di negara itu.

"Walaupun Papua New Guinea (PNG) masih jadi sumber utama produk kami ke UK, penghantaran terbaharu dari Sabah menunjukkan kemampuan kami membekalkan minyak sawit mampan secara konsisten dan stabil dengan kualiti, kemampanan dan keselamatan makanan yang tinggi.

"Bergantung kepada keadaan pasaran dan permintaan pelanggan, kami boleh memberi jaminan bekalan sama ada dari Malaysia atau PNG," katanya.

SD Guthrie juga komited membina rantaian bekalan yang mampan dan kukuh, dengan memastikan semua bekalan boleh dijejaki sepenuhnya serta mematuhi dasar Dasar Tanpa Pembalakan, Tanpa Tanah Gambut Baharu dan Tanpa Penindasan (NDPE) melalui platform Crosscheck.

Syarikat itu turut menyokong lebih 21,000 pekebun kecil di Malaysia, PNG dan Kepulauan Solomon untuk mendapatkan pensijilan RSPO dan meningkatkan akses pasaran serta taraf hidup mereka.

Langkah tersebut juga selaras dengan usaha Malaysia untuk mematuhi garis panduan Produk Bebas Penebangan Hutan (EUDR) yang memerlukan bukti kukuh bahawa produk yang diimport tidak dikaitkan dengan penebangan hutan di mana-mana titik dalam rantaian bekalan.

Dengan penghapusan tarif di bawah CPTPP, SD Guthrie berharap dapat memperkukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai pembekal utama minyak sawit mampan ke pasaran UK dan Eropah, sambil menyokong pekebun kecil tempatan dan menggalakkan amalan pertanian yang bertanggungjawab. - DagangNews.com

standard