SD Guthrie, Sime Darby Property bangunkan Pulau Carey sebagai hab industri

23/06/2025 - 10:48
Gambar/FB SD Guthrie Berhad Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 23 Jun - SD Guthrie Bhd dan Sime Darby Property Bhd menandatangani perjanjian usaha sama untuk membangunkan kira-kira 809 hektar tanah di Pulau Carey, Selangor sebagai hab industri dan logistik.
Perjanjian itu dimuktamadkan susulan rundingan sejak 2023 dan projek tersebut akan dilaksanakan melalui penubuhan sebuah syarikat tujuan khas (SPV).
Kerjasama berkenaan dilihat sebagai peluang untuk menjadikan Pulau Carey sebagai hab industri dan logistik, tanpa menjejaskan operasi ladang sawit sedia ada, serta melengkapi aktiviti di pelabuhan Westport dan Northport di Pelabuhan Klang.
SD Guthrie dan Sime Darby Property adalah syarikat pelaburan milik Permodalan Nasional Bhd (PNB).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, kerjasama itu selari dengan inisiatif GEAR-uP kerajaan untuk menggalakkan pelaburan dalam negara.
"Kerjasama antara dua syarikat milik PNB ini dapat mempercepat pembangunan mampan di kawasan berpotensi tinggi, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi dan sektor industri negara," katanya dalam satu kenyataan bersama oleh kedua-dua syarikat.
Tanah di Pulau Carey sesuai dibangunkan sebagai pusat logistik bertaraf antarabangsa, dengan rantaian bekalan lengkap dan projek industri bernilai tinggi yang boleh menarik pelabur luar negara.
Projek tersebut juga dijangka membantu Malaysia bersaing dengan pelabuhan serantau seperti di Singapura, Thailand dan Vietnam, seterusnya mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab logistik utama di rantau Asia Tenggara.
Selain itu, pembangunan berkenaan berpotensi merangsang ekonomi tempatan, membuka peluang pekerjaan dan membantu masyarakat setempat, sambil memelihara warisan budaya termasuk komuniti Orang Asli Mah Meri di Pulau Carey.
Pengarah Urusan Kumpulan SD Guthrie, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha berkata, Pulau Carey dipilih sebagai tapak pelabuhan baharu oleh kerajaan kerana lokasinya yang strategik, berhampiran Pelabuhan Klang dan Pulau Indah.
"Pulau ini mudah diakses melalui Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) yang bersambung ke Lebuhraya Utara-Selatan.
"Ia memberi peluang besar untuk dibangunkan sebagai hab industri dan logistik, sambil mengekalkan operasi ladang yang masih berkembang," ujarnya.
SD Guthrie kini memiliki 79% daripada keluasan Pulau Carey, iaitu sekitar 11,593.56 hektar, yang diurus secara lestari bagi menjaga alam sekitar.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Property, Datuk Seri Azmir Merican berkata, kerjasama itu adalah peluang terbaik untuk membangunkan Pulau Carey sebagai kawasan pelabuhan moden dan menyokong matlamat negara menjadi hab ekonomi dan logistik serantau.
"Kerjasama ini membolehkan kami merancang dan mereka bentuk ekosistem industri masa depan yang memenuhi keperluan perniagaan dan komuniti dalam jangka panjang," katanya. - DagangNews.com
standard



