PLUS, Yinson GreenTech bina hab pengecasan EV bersepadu di R&R Seremban

LocalTechnology
11 Jun 2025 • 12:25 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PLUS, Yinson GreenTech bina hab pengecasan EV bersepadu di R&R Seremban

image is not available

11/06/2025 - 12:25

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 11 Jun - PLUS Malaysia Berhad dan Yinson GreenTech Malaysia menjalin kerjasama bagi membangunkan Pusat Runcit dan hab Pengecasan Kenderaan Elektrik (EV) bersepadu di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban arah selatan.

Melalui anak syarikat masing-masing, Terra PLUS Sdn Bhd dan Green EV Charge Sdn Bhd, kedua-dua pihak akan bekerjasama untuk membina dan mengendalikan kemudahan tersebut yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2027.

Ia akan menjadi pusat pertama seumpamanya di Lebuhraya Utara-Selatan dan dibina untuk memenuhi keperluan pengguna EV yang semakin bertambah.

PLUS akan mengurus bahagian runcit serta makanan dan minuman, manakala Yinson GreenTech akan memasang, mengendali dan menyelia pengecas EV.

Kemudahan berkenaan akan menyediakan pengalaman pengecasan lengkap dengan pengecas pantas DC serta pelbagai kemudahan untuk keselesaan pengguna sementara menunggu kenderaan dicas.

Inisiatif itu juga menyokong sasaran Malaysia untuk mencapai sifar pelepasan karbon menjelang 2050 dan memperkukuh kemudahan EV di negara ini, khususnya di lebuh raya utama.

Setakat ini, sebanyak 112 pengecas pantas DC telah dipasang di Lebuh Raya PLUS, melebihi sasaran tahun 2025.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, kerjasama tersebut adalah langkah penting untuk menyokong Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB) 2021-2030.

"Ia juga dapat membangunkan lebuh raya yang lebih pintar dan mesra alam, sekali gus meningkatkan pengalaman pengguna," katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif Yinson GreenTech, Lim Chern Yuan pula berkata, pihaknya gembira bekerjasama dengan PLUS untuk memudahkan akses kepada pengecas EV dan mengurangkan kebimbangan pengguna tentang jarak perjalanan.

"Pusat ini juga akan menggalakkan penggunaan EV di Malaysia," jelasnya.

Kemudahan berkenaan turut menyokong rancangan kerajaan untuk menyediakan 10,000 pengecas EV di seluruh negara, selaras dengan komitmen Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). - DagangNews.com

standard