SDAR johan Modern Concert Band AMG 2026

LocalMusic
9 Sep 2026 • 5:31 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: SDAR johan Modern Concert Band AMG 2026

PETALING JAYA: SDAR Symphonic Band (SSB) yang mewakili  Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR), Seremban mengharumkan nama Malaysia selepas muncul johan Modern Concert Band (Senior Division) pada Asian Music Games (AMG) Kuala Lumpur 2026.

Sekolah itu turut meraih Gold Award selepas mencatat markah tertinggi 89.775 mata, mengatasi Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Bukit Nanas di tempat kedua dengan 86.675 mata, manakala Sekolah Tuanku Abdul Rahman ketiga dengan 85.300 mata.

Jurulatih SSB, Adam Asyraf Shazly berkata, kejayaan itu melengkapkan perjalanan gemilang pasukan berkenaan selepas muncul Johan Asian Music Games 2026 National Qualifier pada Jun lalu.

“Kemenangan bukan sekadar menjadi juara. Apa yang lebih membanggakan ialah melihat perkembangan anak-anak SSB daripada sebuah pasukan yang berlatih bersama kepada sebuah pasukan yang benar-benar percaya antara satu sama lain dan mampu membawa nama Malaysia di pentas Asian Music Games,” katanya kepada Utusan Malaysia, hari ini.

Menurut Adam, setiap pertandingan memberikan pengalaman dan cabaran berbeza dalam usaha membangunkan generasi pemuzik muda SDAR.

“Kami mahu mereka belajar bahawa pencapaian datang daripada disiplin, kerja keras dan kesanggupan untuk terus memperbaiki diri. Menjadi Johan AMG adalah satu pencapaian yang sangat kami syukuri, tetapi perjalanan mereka masih panjang,” katanya.

Kejayaan SSB di AMG 2026 membuktikan kecemerlangan anak muda Malaysia bukan sahaja terhad kepada bidang akademik dan sukan, malah turut terserlah dalam bidang seni dan muzik apabila diberikan ruang, latihan serta bimbingan yang sewajarnya.

Pencapaian itu juga menjadi cerminan kekuatan kerja berpasukan, disiplin, ketekunan dan semangat membawa nama negara.

Daripada Seremban ke Kuala Lumpur dan seterusnya ke pentas muzik Asia, SSB membuktikan bahawa bakat muda Malaysia mampu bersaing dan mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa. – UTUSAN 

The post SDAR johan Modern Concert Band AMG 2026 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved