Se Young mahu cari semula rentak cemerlang musim 2023

12 Jan 2024 • 8:18 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Juara dunia perseorangan wanita An Se Young (gambar) tekad mahu mencari semula sentuhan ajaib serta kecemerlangannya seperti yang dipamerkan pada musim 2023.

Pemain Korea Selatan itu percaya beliau sudah mencapai tahap 70 peratus daripada kemuncak prestasi tahun lepas menyaksikan beliau telah meraih 11 gelaran keseluruhan.

“Saya perlahan-lahan bangkit dalam setiap perlawanan dan kejohanan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan sengit pusingan suku akhir kejohanan badminton Terbuka Malaysia 2024 di sini hari ini.

Dalam pertarungan lebih sejam itu, Se Young dipaksa bermandi peluh sebelum berjaya mengesahkan slot separuh akhir selepas menewaskan pemain Singapura, Yeo Jia Min 16-21, 21-12, 21-19 di Axiata Arena.

Pada musim lepas, pemain berusia 21 tahun itu meraih 11 gelaran dengan lima kejuaraan berturut-turut termasuk Kejohanan Dunia 2023 dan pingat emas Sukan Asia Hangzhou 2022.

Selepas cemerlang di Sukan Asia, pemenang gelaran Pemain Wanita Terbaik Persekutuan Badminton Dunia (BWF) itu dilanda kecederaan di bahagian lutut sehingga memaksa beliau berehat panjang sejak Oktober tahun lepas.

Kembali semula ke gelanggang pada November, Se Young bagaimanapun gagal meraih sebarang gelaran dalam tiga kejohanan terakhir bagi musim 2023, termasuk Jelajah Akhir Dunia di Hangzhou pada Disember.

Sementara itu mengenai perlawanan hari ini, naib juara Terbuka Malaysia 2023 itu mengakui beliau sedikit bergelut dengan keadaan angin pada set pertama yang menjejaskan rentak permainan sebelum berjaya menyesuaikan diri dengan situasi.

Ditanya sama ada mahu memburu gelaran pemain perseorangan wanita pertama dari Korea Selatan meraih kejuaraan di Terbuka Malaysia, pemain pilihan utama itu berkata beliau sedang menumpukan perhatian untuk mendapatkan kembali prestasi terbaiknya.

Se Young akan berdepan wakil dari China, Zhang Yi Man yang mengejutkan juara bertahan Akane Yamaguchi dari Jepun 12-21, 21-17, 21-17.

Sementara itu, pemain perseorangan lelaki bukan pilihan dari Taiwan, Lin Chun-Yi meneruskan rentak cemerlang apabila mara ke separuh akhir selepas mengetepikan pilihan ketiga dari China, Li Shi Feng 21-12, 21-18.

Chu-Yi dijadual berdepan Anders Antonsen dari Denmark yang menewaskan pilihan kedua dari Jepun, Kodai Naraoka 16-21, 21-12, 21-7. -Bernama