
MOMEN sebak tiga kakak hadir meraikan kejayaan adik bongsu yang meraihan Anugerah Pengetua MRSM. Paling menyentuh hati apabila mereka sanggup merentas perjalanan jauh dari Pahang dan Terengganu ke Melaka semata-mata demi menjadi 'saksi' kejayaan adik tersayang tanpa ibu bapa di sisi.
Menerusi perkongsian di laman sosial TikTok, Muhammad Nor Azzim Nordin anak jati Kuantan, Pahang meraih anugerah berkenaan dalam Majlis Graduasi MRSM Terendak pada Jumaat lalu.
Perkongsian video, Siti Norsafia Nordin, 26, memaparkan dia dan dua lagi kakak yang lain, Siti Nur Atiqah Nordin, 27, dan Siti Norazlina Nordin, 23, mengiringi Muhammad Nor Azzim menyentuh hati warga maya.

"Adik, tahniah atas anugerah ini. Kakak saksi setiap langkah perjalanan hidup adik. Cukup segala kepahitan yang pernah kita telan dan adik lalui. Terima kasih sebab sentiasa jadi anak dan adik yang menyenangkan serta sentiasa berbuat baik dengan orang sekeliling.
"Hari ini, kakak bangga dengan kejayaan adik. Semoga terus cemerlang dunia dan akhirat. Panjang lagi perjalanan adik selepas ini," titipnya.
Kehilangan ibu bapa pada tahun 25 Mac 2022 dan 14 Disember 2023, Siti Norsafia yang merupakan anak kelapan daripda 10 beradik bersama dua kakak yang lain berusaha untuk hadir selepas memikirkan keadaan adik bongsu mereka yang bakal menerima anugerah tanpa ditemani ibu bapa.
"Kakak terfikir, kalau kami tak datang, takkan adik nak naik pentas tanpa tepukan daripada ahli keluarga sendiri?
"Montaj yang disiar takkan adik nak tengok dengan kawan je? Bukan semua orang faham liku kisah hidup kita, tapi hari ini, terubat rasa bila dapat tengok riak gembira yang luar biasa pada wajah adik bila kakak-kakak ada di depan mata.
"Adik jangan sesekali rasa diri dekat atas ya. Terima kasih kepada para pendidik," titipnya.

Dalam pada itu, Siti Norsafia mendoakan Azzim yang menyimpan cita-cita untuk bergelar seorang pendidik menjadi insan yang berguna.
"Azzim cita-cita nak jadi seorang guru. Harapan saya supaya dia dapat capai cita-cita dia, berjaya dalam pelajaran terutama Sijil Pelajaran dan meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
"Saya cuma mahu melihat dia jadi anak yang baik, berdikari, bertanggungjawab dan dapat memberi manfaat kepada orang lain. Semoga segala usaha dan impian dia dipermudahkan dan tercapai satu hari nanti," kongsinya kepada SinarPlus.
Baru-baru ini hantaran video Siti Nor Safia menerus menerima kata-kata perangsang daripada warga maya. Rata-rata meluahkan rasa sayu namun dalam masa yang sama memuji hubungan rapat adik-beradik itu yang boleh dijadikan contoh.
Sumber: TikTok
"Adik jangan sesekali rasa diri dekat atas ya. Terima kasih kepada para pendidik"
Video: Eytisafiaa
Lagu: If Time Could Stay
Artis: Moments
Sumber : SoundStripe">






