
Sebak, Bapa Cipta Kenangan Terakhir Bersama 3 Anak Sebelum 'Pergi' Selamanya
Tiada siapa mampu menjangka bila saat perpisahan akan tiba.
Namun, sebelum tiba waktunya untuk meninggalkan dunia ini, seorang ayah sanggup mengerah sisa tenaga yang masih ada demi menghadiahkan satu kenangan paling bermakna buat tiga insan tersayangnya.
Begitulah kisah menyentuh hati seorang bapa yang menghidap kanser tahap akhir, apabila impian terakhirnya bukanlah sesuatu yang besar, sebaliknya hanya mahu meluangkan masa bersama anak-anak sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Menyedari hayatnya mungkin tidak lagi panjang, lelaki itu hanya mempunyai satu hasrat, iaitu membawa tiga anaknya ke Bangi Wonderland untuk mencipta kenangan indah bersama dan merakam sekeping gambar yang akan menjadi memori berharga buat mereka sepanjang hayat.
Hasrat bawa anak ke taman tema tercapai
Hasrat itu akhirnya menjadi kenyataan pada 11 Julai lalu selepas usaha beberapa pihak membantu merealisasikan impian terakhir lelaki berkenaan.
Namun, hanya beberapa hari selepas detik penuh bermakna itu, lelaki tersebut dilaporkan menghembuskan nafas terakhir, meninggalkan kenangan yang tidak ternilai buat tiga cahaya matanya.
Ketiga-tiga anak itu masing-masing berusia tiga, lima dan lapan tahun.
Uncle Kentang bantu tunaikan impian terakhir
Menerusi satu hantaran di Facebook pada 9 Julai lalu, aktivis masyarakat Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang, memaklumkan bahawa beliau dihubungi oleh doktor yang merawat bapa berkenaan selepas dimaklumkan mengenai hasrat terakhir lelaki itu.
Menurut perkongsian tersebut, lelaki berkenaan ketika itu sedang dirawat di hospital dan keadaannya semakin lemah akibat kanser tahap akhir.

Dalam keadaan kesihatan yang semakin merosot, dia tetap berharap dapat membawa anak-anaknya ke Bangi Wonderland kerana mahu mencipta satu kenangan terakhir bersama mereka.
"Hari-hari yang masih berbaki buat saya, saya sendiri tidak pasti berapa lama lagi.
"Saya mungkin pergi pada bila-bila masa. Kini saya hanya mampu menggunakan kerusi roda kerana sudah tidak lagi berdaya untuk berjalan," katanya.
"Saya hanya mempunyai satu hasrat, iaitu mahu membawa anak-anak saya ke Bangi Wonderland.
"Ketika ini saya sedang dirawat di hospital dan ingin merakam sekeping gambar bersama mereka sebagai kenangan terakhir yang akan mereka simpan selamanya," ujarnya.

Menurut Uncle Kentang, peluang membantu merealisasikan impian itu merupakan satu penghormatan besar buat dirinya kerana dapat membawa seorang bapa yang sedang sakit keluar bersama keluarga buat kali terakhir.
"Saya mahu memberikan senyuman kepadanya sebelum Tuhan menjemputnya buat selama-lamanya," katanya.
Beliau turut berkongsi penghargaan kepada pihak Bangi Wonderland yang menyambut mereka dengan penuh keprihatinan serta membantu menjayakan perjalanan tersebut tanpa mengenakan sebarang bayaran.
Walaupun keadaan bapa itu sangat lemah dan mudah keletihan, mereka tetap berusaha membawa lelaki berkenaan ke taman tema air itu menggunakan ambulans selepas mendapat persetujuan pihak berkaitan.

"Terima kasih kepada Encik Steven dan semua kakitangan Bangi Wonderland kerana menjadikan perjalanan ini satu kenangan yang tidak akan dilupakan.
"Hasrat terakhirnya telah ditunaikan. Kami berjanji dan kami tunaikan janji itu," tulisnya.
Baca juga:
Lelaki Indonesia Dedah Sebab Durian Malaysia 'Ada Kelas' Berbanding Indonesia
Lelaki Jepun Kongsi Beza Stesen Minyak Malaysia Dan Negaranya
Pergi dengan tenang selepas tunaikan impian
Uncle Kentang berkata, bapa berkenaan memerlukan kerusi roda dan bekalan oksigen sebagai persediaan sepanjang lawatan tersebut berikutan keadaan kesihatannya yang semakin lemah.
Bagaimanapun, arahan Do Not Resuscitate (DNR) turut telah dikeluarkan oleh doktor.
Lebih menyentuh hati, lelaki itu dilaporkan meninggal dunia dengan tenang selepas pulang daripada kunjungan ke Bangi Wonderland pada 13 Julai lalu.

"Kami gembira kerana dia sempat pergi ke Bangi Wonderland.
"Dia memberitahu saya bahawa dia tenang ketika berbual dengan saya dan saya sudah memberikan yang terbaik buatnya," katanya.
Uncle Kentang turut menitipkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta mendoakan agar roh beliau ditempatkan dalam kalangan insan yang beroleh rahmat Allah SWT.
Reaksi Netizen
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa sebak serta mengucapkan terima kasih kepada Uncle Kentang kerana membantu merealisasikan hasrat terakhir bapa itu bersama anak-anaknya.
“Terima kasih Uncle kerana membantu menunaikan hasrat terakhir seorang insan. Baru semalam dibawa ke Bangi Wonderland, hari ini dia sudah tiada. Semoga rohnya tenang,” tulis seorang warga maya.
“Terima kasih Uncle kerana tunaikan hasrat sahabat saya. Saya masih terkilan tidak sempat bertemu dengannya buat kali terakhir. Semoga Norhisham ditempatkan dalam rahmat Allah,” komen seorang lagi warga maya.





