“Sebaknya Hati” – Wanita Dakwa 20KG Daging Korban Dibuang Di Pelupusan Sampah [Video]

LocalFood
9 Jun 2025 • 4:56 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Umum mengetahui, umat Islam di Malaysia baru sahaja menyambut perayaan Hari Raya Aidiladha pada Sabtu lalu (7 Jun) bersamaan dengan 10 Zulhijjah 1446H. Antara aktiviti dilakukan para Muslim pada hari tersebut adalah menunaikan ibadah korban bagi mereka yang berkemampuan.

Memetik Jabatan Mufti Negeri Selangor, pelaksanaan korban dituntut secara sunat kifayah bagi sesebuah ahli keluarga. Apabila salah seorang daripada anggota keluarga telah menyertai ibadah berkenaan, maka sudah memadai bagi semua untuk mendapat pahalanya.

Selepas penyembelihan haiwan selesai, daging akan dibahagi dan disedekahkan kepada mereka yang memerlukan khususnya golongan fakir miskin. Daging korban yang sudah dimasak sedikit sebanyak dapat mengalas perut orang ramai di luar sana.

Wanita Sebak Lihat Banyak Daging Mentah Dibuang

Baru-baru ini, tular satu hantaran di laman TikTok (@hanismuzaini) apabila wanita dikenali sebagai Hanis menunjukkan situasi sekitar kawasan pelupusan sampah di Jeram, Selangor.

Menerusi video perkongsian, kelihatan selambak daging mentah bertaburan di atas jalan tar dikelilingi sampah sarap yang lain. Dakwanya, ada pihak yang membuang daging dipercayai daging korban sebanyak hampir 20KG di kawasan itu.

“Siapa yang tergamak buat begini? Sumpah sebak rasa hati tengok benda ni terjadi. Bukan sikit, banyak,” katanya.

Tambah wanita itu, daging korban tersebut perlulah diuruskan dengan baik iaitu dengan menanamnya dan bukan dibuang begitu sahaja.

Hanis bagaimanapun tidak dapat mengesahkan punca daging berkenaan dilupuskan dan tidak disedekahkan kepada orang yang lebih memerlukan.

@hanismuzaini VIRAL DAGING KORBAN DIBUANG petang ni LEBIH 20kg area Jeram Selangor. TERGAMAK NYA BUANG SEBEGITU SAHAJA TANPA TANAM ATAU SEBAGAINYA. #dagingkorban #dibuang ♬ Gema Takbir Idul Adha – دحية الكلبي

Tonton video [DI SINI].

Beberapa Individu Tolong Tanamkan Daging Korban

Hanis dalam hantaran lain kemudiannya menunjukkan beberapa orang individu sedang membersihkan kawasan tersebut dan bertindak tanam kesemua daging berkenaan dengan rapi.

“Daging korban yang dijumpai itu dah dikutip dan ditanam. Kerja-kerja pembersihan terus dibuat oleh mereka yang ada dalam video ni,” jelasnya.

@hanismuzaini Replying to @shahrilfitriismail alhamdulillah. Dah ada yg uruskan.. Kerja pembersihan terus dilakukan. Alhamdulillah semua dah selesai. #dagingkorban #dibuang ♬ Heart touching sad piano – Yuda Pratama

Tonton video [DI SINI].

Netizen Beri Pelbagai Pandangan Tentang Daging Yang Dibuang

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai memberikan pelbagai reaksi tentang situasi tersebut. Sesetengah netizen meluahkan rasa sebak melihat daging korban yang terbazir.

“Sedihnya. Ada yang tak dapat daging korban. Bila dah dapat dibuang begitu sahaja,” kata seorang wanita.

Bagaimanapun, segelintir individu berpendapat bahawa daging itu berkemungkinan tidak disembelih dengan cara yang tepat.

“Mungkin tak disembelih dengan betul dan jadi bangkai. Tak perlu la diuruskan dengan baik,” ujar seorang warganet.

Sementara itu, ada juga yang memberikan pandangan lain bahawa daging itu disyaki diberikan kepada golongan gelandangan. Oleh disebabkan mereka tidak mempunyai perkakas dan peralatan memasak, daging itu tidak dapat dimasak lalu dibuangnya.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, daging yang disedekahkan kepada masyarakat fakir miskin mestilah dalam keadaan mentah.

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available
Sumber: TikTok (@hanismuzaini)

Wajib Ke Tanam Daging Korban?

Menerusi semakan kami, pendakwah bebas terkenal Ustaz Azhar Idrus (UAI) sebelum ini pernah mengulas tentang isu pengurusan daging korban.

Menurut beliau, daging korban tidak wajib ditanam. Hukum sebenar perbuatan tersebut adalah sunat.

“Kalau kita buang, tidak memudaratkan orang, tidak menyebabkan bau busuk (di tempat) orang (lain), harus (buang dalam tong sampah). Tapi kalau kita buang dalam tong sampah jadi busuk, berlalat dan jadi penyakit kita (perlu) tanam.

“Macam darah kita. Walaupun darah kita sedikit dekat hidung atau dahi lepas tu kita ambil tisu lap. Ada merah sikit, darah. Sunat kita tanam tisu tu. Apa benda yang keluar daripada badan sunat tanam,” jelas UAI.

Source: