
Sebuah video lama yang dikongsikan pengacara dan personaliti media sosial RARETV, Akhmal Asyraf atau lebih dikenali sebagai Kapten AA kembali mencuri perhatian netizen selepas pemergiannya.
Menerusi video yang dimuat naik pada Mei lalu, Akhmal berkongsi momen ketika mengembara bersama isteri tercinta yang sememangnya menjadi impiannya sejak sekian lama.
“Dah lama impian nak merakam memori bersama isteri ketika travel ni sebenarnya. Syukur pada Allah sebelum mata tertutup buat selamanya, ada juga karya yang dapat saya ukir sebagai ingatan.
“Satu cebisan kenangan yang menjadi saksi bahawa kami pernah berjalan dan ketawa bersama dalam mensyukuri nikmat Allah di bumi-Nya,” tulisnya.
View on Threads
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa sebak membaca kembali kapsyen berkenaan yang disifatkan seolah-olah mempunyai maksud tersirat selepas pemergian Akhmal.
“Allahuakbar... AA seperti dah hint... 'Sebelum mata tertutup buat selamanya, ada juga karya yang dapat saya ukir sebagai ingatan.' Allahuakbar... Semoga Allah kurniakan AA syurga tertinggi. Berehat di taman syurga.
“May this beautiful love story continues till Jannah Ya Rabb.
“Ya Allah sedihnya. Dalam kata-kata seperti memberi tahu hari sedih itu ialah hari ini.
“Caption dia macam tahu-tahu je yang dia akan pergi.
“Al-Fatihah Capt AA, salam takziah buat isteri dan keluarga.
“Rahsia Tuhan. Semoga isteri dan keluarga tabah dalam menempuh hari-hari mendatang. You are a good person, Captain. Semoga syurga tempatmu.
“We've seen the world, through your lens. Terima kasih. Al-Fatihah Captain AA.
“Sedih... syurga untukmu Kapten AA. Karya terindah untuk isterinya yang tercinta," komen netizen.
Terdahulu, Akhmal Asyraf dilaporkan meninggal dunia di Muscat, Oman pada Khamis selepas menerima rawatan akibat jangkitan paru-paru.
Berita pemergian Allahyarham disahkan keluarganya menerusi hantaran di platform Threads, sebelum turut dikongsikan rakan rapatnya, Saiful Nang.
Menurut beliau, Akhmal menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.58 petang waktu Oman, selepas waktu Maghrib.





